11 barang kawalan sempena Pesta Kaamatan, Hari Gawai 2021

Alexander Nanta
Alexander Nanta
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 11 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan skim kawalan harga bagi Pesta Kaamatan yang disambut penduduk di Labuan dan Sabah bermula 27 Mei, manakala Hari Gawai yang disambut penduduk Sarawak bermula 28 Mei ini.

Menurut beliau, antara senarai barang yang diumumkan dalam SHMMP termasuk ayam, telur ayam, daging dan babi.

"Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 kepada individu atau RM500,000 bagi syarikat serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000, manakala RM20,000 kepada syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya pada Isnin.

Nanta berkata, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada kementeriannya sekiranya ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian ini melalui Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800 atau emel ke e aduan@kpdnhep.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan: