Pekerja positif Covid-19: Noh gesa tutup sementara kilang ayam

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menggesa sebuah kilang ayam di Parlimen itu ditutup sementara berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pekerja warga tempatan dan asing.

Noh berkata, kilang terbabit telah pun mengarahkan pekerja mereka menjalani ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) dan mengesan terdapat kes positif dalam kalangan pekerja berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan tindakan menutup kilang hanya boleh dilakukan selepas pekerja terbabit menjalani Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) di klinik kerajaan.

"Kita tahu, untuk dapatkan keputusan (RTK-Ag) di klinik swasta hanya dalam tempoh 30 minit, tetapi bila ada yang positif mereka perlu menjalani saringan rTC-PCR yang mengambil masa mungkin 24 hingga 48 jam untuk mengetahui keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya pada malam Ahad.

Justeru, katanya, KKM diminta meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) terbabit bagi mengelakkan penularan wabak dalam tempoh berkenaan.

"Walaupun pekerja yang positif tidak dibenarkan bekerja selepas menjalani RTK-Ag, tetapi kita bimbang mereka mungkin bergerak bebas dan kemungkinan berlaku pula jangkitan di luar kawasan kilang," tegasnya.

Menurut beliau, keadaan itu sekali gus memberi kebimbangan kepada penduduk sekitar berikutan kilang terbabit berada di dalam kampung dan bukannya di kawasan industri.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk Tanjong Karang meluahkan rasa bimbang kerana kes positif Covid-19 di kawasan ini dikategorikan sebagai zon merah.

"Di (mukim) Tanjong Karang sahaja terdapat 11 kes positif, manakala mukim Bestari Jaya tujuh kes, Hujung Permatang enam kes menjadikan kes keseluruhan 24 kes," katanya.