Bicara kes rasuah VLN Ahmad Zahid bermula hari ini

Zahid Hamidi
Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi di sini bermula dengan jurubahasa membacakan kesemua pertuduhan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid, 68, yang hadir berkot, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibaca lebih sejam di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran bersama Wan Shaharuddin Wan Ladin, Gan Peng Kun dan Lim Wai Keong.

Sementara Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Hamidi Mohd Noh, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Shahul Hamidi.

Ketika membacakan ucapan pembukaan Raja Rozela berkata, pendakwaan akan membuktikan tertuduh menerima suapan yang melibatkan wang tunai pelbagai matawang iaitu SG$14.71 juta, RM3.125 juta, AS$15,000 dan Euro€5,000 dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

UKSB katanya, merupakan sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan sebagai kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Yang Arif juga bakal mendengar keterangan beberapa saksi yang akan memperincikan fakta dan hal keadaan tentang bila dan bagaimana wang-wang suapan itu diterima oleh tertuduh.

“Di akhir kes pendakwaan kelak, Yang Arif akan dapat lihat wujudnya kaitan antara fakta perlantikan UKSB sebagai kontraktor dan fakta penerimaan wang-wang tunai oleh tertuduh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kaitan antara kedua-dua fakta tersebut adalah penting untuk membuktikan bahawa tertuduh telah menerima wang-wang suapan sebagai upah dan sebagai dorongan untuk mengekalkan dan/atau melanjutkan kontrak lantikan UKSB.

Bagi tujuan itu katanya, pasukan pendakwaan akan memanggil sekurang-kurangnya 20 saksi dan ia akan bergantung kepada keterangan dokumentari, keterangan terus serta keterangan ikut keadaan, di mana perlu.

Sementara itu, saksi pendakwaan pertama, Penolong Pendaftar Syarikat dan Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah berkata, berdasarkan maklumat korporat UKSB, ia melibatkan diri dalam menjalankan perniagaan perkhidmatan fasiliti Visa.

Mengikut dokumen sama katanya, antara nama dan jawatan yang dicatat adalah dua pengarah syarikat iaitu Tan Chuin Boon, 39, dan Fadzil Ahmad, 51, serta tiga setiausaha iaitu Jane Ong Su Ping, 40, Wong Mee, 41, dan Ng Heng Hooi, 48.

“Pemegang saham bagi UKSB pula ialah HRL Capital Sdn Bhd dan Seri Optima Sdn Bhd masing-masing dengan pegangan saham sebanyak 150,000 manakala orang perseorangan, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani sebanyak 200,000,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada ‘form 49’ iaitu borang ‘Return Giving Particulars In Register of Directors, Managers And Secretaries And Changes of Particulars’ SSM, bagi UKSB bertarikh 13 Mei 2013 menyatakan nama-nama pengarahnya ialah Harry Lee Vui Khiun, Tan Siong Sun dan Wan Quoris Wan Abdul Ghani.

Sementara pada 10 September 2013 pula katanya, nama pengarah dalam ‘form 49’ ialah Harry Lee, Wan Quoris, Fadzil Ahmad yang dilantik pada 10 September 2013 dan Siong Sun yang letak jawatan pada 10 September 2013.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SG$1.15 juta, RM3.125 juta, AS$15,000 dan Euro€15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dengan saksi sama disambung esok.