X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak menurun

Sebuah rumah yang turut terjejas dengan banjir di Kampung Lama Tenom ketika tinjauan Pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak mencatatkan penurunan pagi Isnin berbanding Ahad.

Mangsa banjir yang dipindahkan di Sabah menunjukkan sedikit penurunan dengan seramai 4,999 mangsa direkodkan setakat jam 8 pagi Isnin berbanding 5,037 orang petang Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan kesemua mangsa di dua daerah iaitu Tenom dan Beaufort masih ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan secara berperingkat sejak Khamis lepas.

“Tenom masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 4,396 orang membabitkan 1,269 keluarga di 37 PPS, manakala Beaufort seramai 603 mangsa dan ditempatkan di empat PPS.

"Dewan Sri Ontoros yang menempatkan 476 mangsa merupakan PPS dengan mangsa banjir teramai di Tenom, manakala di Beaufort, PPS di Dewan DSP Mohd Dun Banir menempatkan mangsa teramai dengan 231 orang," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memberitahu sebanyak 75 kampung terjejas di Beaufort dan 47 kampung di Tenom.

Sementara itu, angka penduduk yang dipindahkan sementara susulan banjir yang melanda bahagian utara Sarawak terus menurun pagi Isnin kepada 145 orang daripada 42 keluarga berbanding 233 orang daripada 70 keluarga pada Ahad.

Berdasarkan maklumat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kesemua mangsa terlibat ditempatkan di lima PPS di daerah Limbang dengan 44 mangsa berada di PPS Dewan Masyarakat Kampung Bidang.

Seramai 29 lagi mangsa masih berada di PPS Dewan Masyarakat Medamit, 28 di PPS Dewan Masyarakat Buloh Baloi, 25 di Dewan Masyarakat Ukong dan 19 orang di Dewan SK Menuang.

Sementara itu, dua PPS di daerah Telang Usan di pedalaman Bahagian Miri iaitu Dewan SJK (C) Kee Tee dan Masjid Darussalam, kedua-duanya di Long Lama yang menempatkan 88 mangsa daripada 30 keluarga sebelum ini, ditutup berikutan keadaan banjir yang semakin pulih. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!