X

Kindly register in order to view this article
!

PSM perlu pengurusan baharu, bukan persatuan baharu

A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) memerlukan pengurusan baharu, berbanding penubuhan persatuan baharu untuk mentadbir badan induk sepak takraw negara itu.

Menurut bekas pemain sepak takraw negara, Abd Malek Samsudin, pembentukan persatuan baharu bakal menyaksikan PSM menjadi entiti baharu sedangkan ia pelopor sukan sepak takraw.

Malah menurut Abd Malek, PSM masih pertubuhan sah berdasarkan undang-undang seperti diperjelaskan Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebelum ini, namun pada masa ini tidak boleh mengadakan mesyuarat agung kerana tidak cukup korum.

“Pada pendapat saya, memang tidak perlu kewujudan persatuan baharu ini kerana pihak yang akan mengambal alih PSM kelak, kita tidak tahu mengenai latar belakang mereka.

“Bagi saya, walau apa pun yang berlaku, perlu dipastikan supaya PSM ini tidak hilang kerana ketika saya bermain dahulu dari 1985 sehinggalah 1994 dengan membawa pelbagai kejayaan, saya membawa logo PSM.

“Oleh itu secara keseluruhannya, sememangnya PSM memerlukan pengurusan baharu bagi mentadbir persatuan berkenaan dan bukannya membentuk persatuan yang baharu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Abd Malek sebelum ini mengharumkan nama negara bersama gandingan ‘emas’ negara, Rehan Mat Din dan Nordin Sabaruddin apabila muncul juara Sukan Asia Beijing bagi acara regu dan berpasukan pada 1990 lalu.

Gandingan itu juga terus cemerlang apabila merangkul emas di Sukan Asia Hiroshima bagi acara regu selain emas bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 bagi acara regu, emas Sukan SEA Manila 1991 bagi acara regu dan berpasukan.

PSM sebelum ini dilanda kemelut bermula dengan penggantungan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail daripada sebarang aktiviti sukan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa selama 15 tahun selepas didakwa melanggar beberapa peraturan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Terbaharu PSM disingkirkan sebagai ahli gabungan ASTAF selepas didapati bersalah susulan tindakan Ahmad di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

Situasi itu diburukkan lagi apabila beberapa ahli gabungan mula meninggalkan PSM bermula dengan Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak).

Turut sama, Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans).

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain negara, Zabidi Shariff menegaskan tindakan menarik diri beberapa persatuan sepak takraw negeri daripada PSM pada ketika ini memberikan isyarat kepada PSM untuk segera membentuk pengurusan baharu bagi mentadbir badan berkenaan.

Menurut Zabidi, masanya sudah tiba untuk badan induk sepak takraw negara tersebut ditadbir pengurusan baharu dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw negara pada masa depan.

“Kalau setakat tiga atau empat persatuan negeri yang tarik diri mungkin masih boleh lagi diterima, tetapi kalau sudah lebih daripada separuh yang tarik diri, ia memang satu isyarat yang jelas kepada PSM untuk melakukan perubahan segera.

“Pengurusan lama PSM sudah terlampau lama sangat, cuma yang ketara adalah saingan Liga Sepak Takraw (STL), tetapi dalam masa sama pencapaian skuad sepak takraw negara setakat ini macam mana?

“Bukan untuk pertikaikan, tetapi kemenangan regu negara tanpa kehadiran regu Thailand, kita nak ukur macam mana? Jadi bagi saya, PSM memang perlukan perubahan segera,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!