BDR: Masih banyak majikan yang degil, pentingkan diri

Bekerja Dari Rumah (BDR) merupakan inisiatif yang harus dipertimbangkan oleh semua syarikat bagi mengelak penularan kes Covid-19 dan kluster pekerjaan.
Bekerja Dari Rumah (BDR) merupakan inisiatif yang harus dipertimbangkan oleh semua syarikat bagi mengelak penularan kes Covid-19 dan kluster pekerjaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekerja dari rumah (BDR) menjadi norma baharu sejak tahun lalu dan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) diperketatkan, dijangka lapan juta pekerja akan kembali menjadikan kediaman masing-masing sebagai ‘pejabat’.

Bagaimanapun, difahamkan terdapat banyak syarikat yang berdegil dan mementingkan diri apabila masih mahu mengamalkan kerja secara bersemuka setiap hari walaupun di ambang pandemik.

Malah ada majikan yang mengambil pendekatan ‘senyap’ tanpa memaklumkan kepada kakitangan lain apabila ada pekerja positif kononnya enggan menyebabkan panik.

Nurul Zamri, 25, pekerja kilang di Negeri Sembilan menyatakan kebimbangan terhadap golongan pekerja yang tidak diberi kelonggaran BDR walaupun terdapat sejarah kes positif baru-baru ini di tempat kerjanya.

“Tempat kerja saya baru-baru ini ada orang positif dan hanya kontak rapat sahaja dipanggil untuk buat ‘swab test’ dan dikuarantin. Jadi bagaimana pula dengan kami yang bekerja di tempat sama dan menggunakan semua fasiliti sama?

“Mereka juga tidak bertanggungjawab untuk menutup operasi bagi melakukan sanitasi.

“Saya faham sekiranya kilang tidak ditutup operasi sepenuhnya kerana memerlukan tenaga pekerja. Namun, pekerja seharusnya diberi kelonggaran untuk BDR secara bergilir-gilir. Itu sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, seorang eksekutif pemasaran, Fatin Shafee, 25, berkata, ada syarikat yang hanya senyap apabila pekerjanya disahkan positif dengan alasan tidak mahu menimbulkan panik.

Artikel Berkaitan:

“Kami pernah diberitahu bahawa ada pekerja yang positif dan pihak syarikat meminta kami untuk tidak memaklumkannya kepada sesiapa. Kemungkinan juga tindakan tatatertib boleh diambil jika ada yang melanggar arahan,” katanya.

Fatin juga meminta agar pihak syarikat dan majikan lebih peka tentang kepentingan BDR kerana kes Covid-19 semakin meningkat dan boleh menyebabkan kluster pekerjaan.

Berkongsi pandangan sama, Mel Azhar, 28, bekas pekerja bank di Kota Damansara merasakan bahawa setiap titik peluhnya tidak berbaloi apabila dikerah pergi ke tempat yang mempunyai kes positif tinggi malah turut diberhentikan kerja selepas itu.

“Bukan sahaja tiada BDR, malah saya perlu pergi ke kawasan zon merah untuk mencari prospek dan membuat janji temu atas alasan pekerja patut akur dengan arahan serta bersyukur kerana masih mempunyai kerja,” katanya.