‘Ujian saringan berskala besar percuma’

Para petugas KKM Labuan menjalankan tugas pengambilan sampel di Stesen Saringan Kesihatan dan Ujian Calitan Klinik Kesihatan Membedai Labuan.
Para petugas KKM Labuan menjalankan tugas pengambilan sampel di Stesen Saringan Kesihatan dan Ujian Calitan Klinik Kesihatan Membedai Labuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan awam menggesa kerajaan melaksanakan ujian saringan berskala besar dan bersasar secara percuma bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang semakin berleluasa.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak berkata, pelaksanaan ujian saringan penting untuk mengesan individu yang dijangkiti Covid-19 dengan cepat.

Beliau berkata, ia berikutan penularan jangkitan dalam kalangan warga tempatan dilihat semakin tinggi dan membimbangkan ketika ini.

“Kes Covid-19 dalam populasi kita juga semakin tinggi. Jadi, kita perlu buat ujian ini secara besar-besaran supaya dapat mengesan mana-mana individu yang dijangkiti dengan cepat. Kemudian asingkan mereka dengan segera.

“Lebih membimbangkan apabila mereka yang dijangkiti ini tiada sebarang gejala,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, hasil konsultasi Sinar Harian dan beberapa wartawan veteran yang prihatin dengan pakar-pakar perubatan serta sains negara mengemukakan lapan saranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melawan Covid-19.

Antara pelan tindakan segera seperti disyorkan itu termasuk ujian saringan Covid-19 berskala besar dan bersasar secara percuma.

Dr Marzuki berkata, pelaksanaan ujian tersebut boleh dilakukan melalui Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) kerana keputusan boleh didapati dalam masa beberapa jam sahaja tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya individu ini positif Covid-19, dia perlu membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk mendapatkan pengesahan.

“Kemudian, maklum kepada jabatan kesihatan negeri ataupun pejabat kesihatan daerah,” tegasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah berjaga-jaga.