Suntik seramai mungkin dos pertama

Gambar fail menunjukkan seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Victoria, Seychelles. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Victoria, Seychelles. - Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Negara Britain adalah bukti jelas kejayaan pelaksanaan strategi keutamaan pemberian dos pertama vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat negara itu apabila kadar penularan pandemik berjaya ditangani sepenuhnya ketika ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, langkah berani kerajaan Britain itu menyaksikan sejumlah 71 peratus rakyat Britain sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 32 peratus daripadanya kini sudah melengkapkan dos kedua.

Jelas beliau, berdasarkan data saintifik daripada syarikat membekalkan vaksin di Britain seperti AstraZeneca dan Johnson & Johnson, kadar perlindungan imunisasi pada badan penerima vaksin adalah lebih baik sekiranya kaedah penjarakan pemberian antara dua dos dilaksanakan.

“Melalui strategi mengutamakan pemberian dos pertama, seramai mungkin rakyat yang bakal menerimanya sekurang-kurangnya sudah ada perlindungan imunisasi tubuh badan mencecah 60 peratus daripada jangkitan Covid-19.

“Tempoh penjarakan antara dua dos pula disarankan seperti dilakukan negara Britain iaitu tiga bulan daripada tempoh dos pertama diterima. Ini kerana imunisasi dalam badan untuk dos pertama akan terbina sekitar dua hingga tiga minggu.

“Jadi tempoh pemberian dos kedua untuk tempoh dua hingga tiga bulan selepas dos pertama adalah langkah paling praktikal bagi mengurangkan kesan sampingan selain memastikan tahap imunisasi tubuh badan mencapai keupayaan optimum," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang yang mendesak kerajaan mencontohi inisiatif Singapura yang melaksanakan strategi pemberian dos pertama vaksin Covid-19 kepada lebih ramai orang dan mempercepat program vaksinasi.

Ketika ini, kerajaan masih melaksanakan strategi pemberian vaksin secara berfasa berdasarkan keperluan dua dos dengan anggaran hampir sejuta rakyat sudah melengkapkan pengambilan dua dos itu.

Artikel Berkaitan:

Pandangan Sazaly turut dipersetujui bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang menjangkakan negara mempunyai bekalan vaksin mencukupi bagi pemberian sekurang-kurangnya satu dos menjelang bulan Ogos dan September tahun ini.

Jelas Ahli Parlimen Gopeng itu, strategi keutamaan pemberian dos pertama vaksin kepada penduduk kawasan titik panas seperti Lembah Klang juga amat penting bagi melindungi penduduk berada di kawasan luar pandemik Covid-19.

“Pada masa sama, kerajaan mesti berusaha mendapatkan sumber bekalan vaksin dengan lebih meluas termasuk mengkaji keperluan vaksin syarikat selain Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) lebih cepat.

“Dalam keadaan darurat, NPRA tidak boleh menjadi penghalang kepada kelulusan bekalan vaksin lain yang sudah diguna pakai di beberapa negara lain seperti Johnson & Johnson, Moderna, Sputnik V dan Sinofarm,” katanya.