X

Kindly register in order to view this article
!

Penggali kubur OKU uruskan 'rumah terakhir' jenazah Covid-19

Shuib yang terlibat menguruskan jenazah mangsa kes Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara menggunakan motosikal roda tiga untuk bawa peralatan menggali kubur mangsa yang meninggal dunia akibat wabak itu ketika tinjauan baru-baru ini.
 - Foto Bernama
A
A

IPOH - “Setiap kali ada kematian, saya berdepan suasana sayu dan memilukan. Selalunya saya berusaha menenangkan ahli keluarga yang hanya dibenar melihat urusan pengebumian dari jauh,” kata seorang penggali kubur yang menguruskan ‘rumah terakhir’ pesakit Covid-19.

Shuib Aziz, 64, menyifatkan tugasnya itu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul memandangkan ahli keluarga tidak dapat menguruskan pengebumian jenazah orang kesayangan mereka disebabkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) untuk kematian akibat Covid-19.

Shuib yang cacat sebelah mata mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dipulaukan masyarakat sekeliling kerana dikhuatiri membawa virus tersebut, selain tekanan ahli keluarga yang mahu dia berhenti melakukan tugas berkenaan, juga kerana faktor sama.

Walaupun cacat penglihatan, Shuib tetap menguruskan jenazah mangsa kes Covid-19 sejak tahun lalu. - Foto Bernama
Walaupun cacat penglihatan, Shuib tetap menguruskan jenazah mangsa kes Covid-19 sejak tahun lalu. - Foto Bernama

“Awal-awal dulu saya amat takut apabila diminta menggali kubur untuk jenazah yang meninggal dunia akibat virus ini sehingga tidak boleh tidur malam, selain asyik teringat kesedihan ahli keluarga mangsa yang tidak dapat melibatkan diri dalam urusan pengebumian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ahli keluarga terdekat hanya dibenarkan mendekati pusara sebaik sahaja urusan pengebumian dan penyemburan pembasmi kuman selesai dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) atau vendor yang dilantik.

Shuib yang masih bujang dan sudah lebih 20 tahun menjadi penggali kubur di Tanah Perkuburan Jalan Bendahara di sini memberitahu, walaupun tidak memperoleh pendapatan lumayan, dia melakukan kerja itu dengan ikhlas bersandarkan niat untuk membantu orang ramai.

Anak kedua daripada lapan beradik itu yang telah menggali liang lahad untuk kira-kira 15 jenazah Covid-19 setakat ini bersyukur kerana hingga kini masih terselamat daripada jangkitan virus tersebut.

Shuib memperkemaskan pusara mangsa kes Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara, selepas dikendalikan pihak Kementerian Kesihatan ketika tinjauan baru-baru ini. - Foto Bernama
Shuib memperkemaskan pusara mangsa kes Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara, selepas dikendalikan pihak Kementerian Kesihatan ketika tinjauan baru-baru ini. - Foto Bernama

"Jenazah terbabit merupakan pesakit Covid-19 dari Hospital Raja Permaisuri Bainun," katanya menambah pihak forensik akan menghubunginya setiap kali ada kematian.

Shuib berkata, antara pengalaman paling mencabar dihadapinya ialah menggali kubur sewaktu hujan lebat dengan angin kencang serta air hujan mulai bertakung di dalam liang lahad sedangkan jenazah sudah sedia untuk dikebumikan.

“Saya selalunya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan lubang kubur dan kadang-kadang turut dibantu beberapa orang untuk menggali kubur selain dipantau polis apabila melibatkan jenazah kematian akibat Covid-19,” katanya yang turut melakukan kerja-kerja rencam di tanah perkuburan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!