X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan sampai cedera'

Cheng Hoe (kanan) bertanyakan sesuatu kepada De Paula semasa sesi latihan sebelum ini.
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak terlalu menekankan persembahan terbaik daripada para pemainnya dalam perlawanan persahabatan menentang Kuwait yang telah diharungi pada Ahad dan menentang Bahrain pada 28 Mei ini.

Menurutnya, para pemain tidak perlu terlalu ghairah membuktikan keupayaan mereka sehingga boleh mendatangkan kecederaan sekali gus memberikan masalah besar menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan.

"Apa yang penting saya tidak mahu pemain terlalu ghairah dalam perlawanan ini untuk menunjukkan prestasi terbaik. Saya cuma mahukan mereka ikut arahan dan taktikal yang kita berikan.

"Saya tidak mahu ada pemain dapat kecederaan yang akan menyukarkan kita sebelum menentang UAE nanti," katanya pada sidang media secara maya pada Ahad.

Skuad Harimau Malaya telah mengharungi perlawanan persahabatan pertama yang diadakan secara tertutup di Stadium 7he Seven, Dubai, UAE pada Ahad dan akan menentang Bahrain di Manama untuk aksi persahabatan kedua pada 28 Mei ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe mahu melihat beberapa kriteria daripada pemain dalam dua perlawanan tersebut yang menjadi medium untuknya memilih pemain untuk beraksi dalam kesebelasan utama ketika menentang UAE.

"Saya berikan peluang untuk semua mereka bermain dan saya mahu melihat semangat berpasukan, karakter, sikap dan paling penting kita boleh melihat kombinasi terbaik mampu dipamerkan para pemain.

"Lagipun, selepas 18 bulan tidak beraksi bukan senang untuk menentukan kesebelasan utama. Saya akan mencuba beberapa kombinasi lagi ketika menentang Bahrain sebelum menentukan kesebelasan pemain untuk perlawanan kelayakan nanti," katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mengakui berpuas hati dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh para pemainnya termasuk pemain baharu seperti Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Guilherme de Paula yang baru sahaja pertama kali bersama pasukan kebangsaan.

"Setakat ini, mereka memberikan yang terbaik dan harap mereka dapat kekalkan apa yang telah dipamerkan ini. Pemain baharu yang datang juga dapat menyesuaikan diri dengan baik.

"Kita masih ada beberapa hari selain satu lagi perlawanan menentang Bahrain sebagai medan percubaan. Dengan taktikal dan perancangan yang betul, saya percaya kita akan dapat menyediakan satu pasukan yang baik menentang UAE," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!