Tak logik NGO guna 40 peratus sumbangan

Masjid as-Syafie di Gaza, Palestin yang dibina melalui sumbangan sepenuhnya NGO Malaysia, Aman Palestin.
Masjid as-Syafie di Gaza, Palestin yang dibina melalui sumbangan sepenuhnya NGO Malaysia, Aman Palestin.
A
A
A

TRAGEDI yang menimpa kota suci Palestin sudah berabad lamanya dan baru-baru ini kita menyaksikan buat sekian kalinya darah umat Islam tumpah lagi akibat dibunuh Zionis Israel.

Pada hari kelapan Palestin diserang pada tahun ini, lebih 212 orang termasuk 36 wanita dan 61 kanak-kanak terkorban selain lebih 1,400 orang tercedera.

Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib saudara di Palestin sentiasa memberi sumbangan dan dana di samping titipan doa buat mereka.

Namun, masih ada pihak yang mengambil kesempatan atas penderitaan hidup rakyat Palestin dengan mengadakan tabung derma yang tidak tahu kesahihannya.

Keadaan bertambah tegang apabila Duta Palestin di Malaysia mendakwa sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin atas tujuan pembangunan Masjid al-Aqsa tidak sampai.

Isu itu kembali hangat diperkatakan apabila Palestin baru-baru ini bergolak dan ada masyarakat Malaysia melahirkan rasa was-was sama ada sumbangan mereka akan sampai terus kepada penduduk di bumi anbia’.

Wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy menemu bual dua buah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCMS), Zulkifli Wahijan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut bagi menyingkap kebenaran di sebalik isu ini.

Awang Suffian
Awang Suffian

Artikel Berkaitan:

SINAR HARIAN: Terdapat dakwaan bahawa penyaluran sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa tidak sampai ke tangan Kedutaan Palestin meskipun banyak pihak mengutip dana. Apa komen pihak NGO terhadap isu ini?

MCMS: Untuk makluman, bagi penyaluran dana ke Masjid al-Aqsa melalui Kedutaan Palestin memang tidak ada kerana pembangunan Masjid al-Aqsa di bawah Jabatan Wakaf yang dikuasai oleh Jordan.

Jadi peraturannya tidak dibenarkan mana-mana pihak untuk melaksanakan sebarang aktiviti pembangunan kepada masjid tersebut melainkan Jordan dengan kelulusan pihak berkuasa Israel yang menguasai Baitulmaqdis.

Oleh itu, MCMS menghantar NGO kami sendiri dan terus kepada masyarakat di sana yang terlibat dengan bantahan ke atas Yahudi. Contohnya, pada bulan Ramadan, kami menyumbang jamuan untuk berbuka dan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan sekatan di sana. Secara keseluruhannya, sumbangan sentiasa disalurkan cuma dari segi pembangunan Masjid al-Aqsa tidak dibernarkan.

Kebanyakan NGO Malaysia memang tidak akan beri sumbangan melalui Kedutaan Palestin di Malaysia. Contohnya, MCMS ada pejabat di Palestin dan rakan kolaborasi yang dipercayai. Banyak bukti yang ada seperti resit dan gambar di media sosial. Jadi tak ada isu sumbangan tidak diberikan kepada rakyat Palestin.

Aman Palestin: Kami menafikan dakwaan tersebut kerana kami menyalurkan bantuan rakyat Malaysia secara terus kepada Palestin. Contohnya, pada Ramadan lepas, Aman Palestin berjaya menyumbangkan lebih RM10 juta untuk bantuan Ramadan yang diberi kepada Palestin, Yemen, Syria dan Masjid al-Aqsa.

Zulkifli menunjukkan salah sebuah Masjid yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Muslim Care Malaysia Society.
Zulkifli menunjukkan salah sebuah Masjid yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Muslim Care Malaysia Society.

Jadi kami tidak tahu latar belakang mengapa timbul isu mendakwa sumbangan pihak NGO tidak sampai kepada Palestin.

Adakah pihak kedutaan nak semua sumbangan mesti diberikan melalui mereka terlebih dahulu? Saya rasa itu bukan sesuatu yang wajib kerana kita boleh dan mampu menyampaikan bantuan tersebut secara langsung dengan sendiri.

Ada juga dakwaan bahawa ada NGO mengambil hingga 30 ke 40 peratus daripada sumbangan yang diterima untuk rakyat Palestin di negara ini sebagai kos operasi termasuk untuk urusan pentadbiran dan perjalanan. Sejauh mana ia benar?

MCMS: Bagi MCMS kami tidak bersetuju dengan dakwaan itu. Untuk krisis Palestin yang terjadi ketika ini, kami tidak mengambil sebarang caj terhadap semua sumbangan yang diterima.

Aman Palestin: Kami tak menafikan kerana bagaimana kami hendak bergerak jika tidak melibatkan pengurusan dan kos lain seperti pengangkutan untuk menyampaikan sumbangan tersebut? Apabila kita memberi bantuan kepada negara luar, memang akan ada kos pengurusan.

Hatta, Kedutaan Palestin di Malaysia juga mendapat bantuan secara terus daripada Wisma Putra atau kerajaan Malaysia. Apa yang lebih penting duit tersebut digunakan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat utama iaitu menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

Berapa peratuskah yang sebenarnya diperuntukkan atau digunakan oleh pihak NGO bagi tujuan pengurusan pertubuhan?

MCMS: Untuk keseluruhan pengurusan sebelum ini, kami hanya mengambil dalam enam peratus sahaja. Namun, untuk isu krisis Palestin yang terjadi ketika ini, seluruh sumbangan 100 peratus diberikan kepada Palestin.

Aman Palestin: Untuk tujuan pengurusan, pada kebiasaannya Amal Palestin hanya menggunakan kurang dari 10 peratus. Semakin banyak sumbangan yang kami dapat, semakin kurang peratusan yang digunakan.

Jadi tuduhan menggunakan 30 atau 40 peratus dari sumbangan itu untuk pengurusan tidak logik bagi kami.

Adakah benar NGO Malaysia tidak menghulurkan derma kepada pengurusan Masjid al-Aqsa kerana masjid itu dibiayai oleh kerajaan Jordan?

MCMS: Ya betul. Ini kerana Masjid al-Aqsa berada di bawah Jabatan Wakaf Jordan. Sumbangan yang dibenarkan dan kita bantu hanyalah makanan, halaqah mengaji dan pengangkutan ke masjid iaitu bantuan selain daripada tujuan pembangunan.

Aman Palestin: Suatu benda yang semua orang kena faham, Palestin terbahagi kepada empat bahagian. Pertama, Gaza, yang diperintah oleh Hamas dan bantuan yang diberikan kebanyakkannya oleh NGO. Kedua, Palestin 48, kawasan yang paling luas dan pertembungan dengan rakyat Israel.

Zulkifli Wahijan menunjukkan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan oleh Muslim Care Malaysia Society dalam membantu warga Palestin.
Zulkifli Wahijan menunjukkan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan oleh Muslim Care Malaysia Society dalam membantu warga Palestin.

Ketiga, Tebing Barat berdekatan Masjid al-Aqsa yang berada di bawah kekuasaan Israel. Keempat, Al-Aqsa atau Jerusalem yang menjadi rebutan ibu negara antara Palestin dan Israel.

Akibat perebutan ini, kuasa untuk mengendalikan diletakkan pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah kerajaan Jordan dan diletakkan pengurusannya di bawah Kementerian Wakaf Jordan.

Oleh itu, mereka mempunyai peruntukan khusus untuk Masjid al-Aqsa dari segi pembinaan dan pengurusan. Namun, Aman Palestin membuat sumbangan lain seperti makanan, bantuan perubatan dan tabung kecemasan untuk orang yang menghuni dan duduk di Masjid al-Aqsa dan bantuan itu sampai.