X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Tiada kompromi terhadap pelanggaran SOP

Abd Jalil Hassan
A
A

KUANTAN - Seramai 207,967 orang atau 90 peratus daripada penduduk daerah ini terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim dalam Kuantan yang berkuat kuasa tengah malam ini untuk tempoh dua minggu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang PKPD, polis menutup sepenuhnya laluan tikus ke Kuantan menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri termasuk di laluan kelapa sawit di Felda Neram yang merupakan laluan dari Terengganu.

Menurutnya, sekatan jalan raya pula akan dilaksanakan di enam lokasi laluan utama keluar masuk ke daerah ini termasuk di Tanjung Lumpur, Kampung Chendor, Gambang dan laluan Pekan-Kuantan.

"Tindakan kompaun akan dilakukan secara automatik kepada mereka yang melepasi sempadan tanpa kebenaran dengan tiada sebarang kompromi atau belas kasihan kerana pemakluman PKPD sudah dihebahkan selain peningkatan kes yang mendadak di Kuantan.

"Selain penghadang dan kawat duri, pasukan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) akan melakukan pemantauan berkala di laluan tikus bagi memastikan tiada cubaan keluar masuk kawasan PKPD," katanya semasa ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Ahad.

Untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Kuantan, Abd Jalil berkata, cuti pegawai dan anggota khususnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan masih dibekukan walaupun Bukit Aman sudah membenarkan kelulusan cuti, seminggu selepas raya.

Selain itu, beliau berkata, kira-kira 60 pegawai dan anggota dari IPK Pahang 'dipinjamkan' ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sepanjang PKPD memandangkan pihak berkuasa memerlukan kekuatan 300 tenaga kerja setiap hari bagi pelbagai penugasan berkaitan pematuhan SOP.

"Pegawai dan anggota polis adalah yang paling ramai ditugaskan, selain pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, pihak berkuasa tempatan, kakitangan pejabat kesihatan dan sebagainya.

"Masyarakat mungkin memandang ringan penugasan sekatan jalan raya, sedangkan pegawai dan anggota terlibat perlu berdiri dua jam untuk memeriksa setiap kenderaan sebelum digantikan, dengan setiap syif selama lapan jam. Jadi, saya merayu orang ramai untuk membantu kami dengan patuh kepada SOP," katanya.

Selain penduduk Kuantan, Abd Jalil juga mengingatkan supaya penduduk di lima kawasan perumahan di Gau, Temerloh yang turut dikenakan PKPD bermula tengah malam ini, untuk tidak meninggalkan rumah sebelum perintah itu berkuat kuasa, mengambil iktibar daripada pengalaman PKPD di Taman Tanah Putih Baru di sini.

Taman Tanah Putih Baru dikenakan PKPD pada 5 Mei lalu dan pihak berkuasa mendapati hampir 200 penduduk di situ 'menghilangkan diri' sehingga kerajaan negeri terpaksa meminta mereka pulang bagi menjalani ujian saringan yang dilakukan secara percuma.

"Kita tak mahu kejadian itu berulang kerana mereka yang melarikan diri berisiko menyebarkan wabak Covid-19 ke tempat lain kerana tidak tahu status kesihatan sendiri. Untuk tindakan awal, polis daerah terlibat membuat pemeriksaan dengan pemimpin setempat seperti penghulu untuk memastikan tiada cubaan meninggalkan rumah.

"Untuk kali ini, polis tiada kompromi dan mereka yang dikesan meninggalkan rumah kerana mahu mengelak PKPD akan dikenakan kompaun, walaupun mereka ini balik menyerah diri kepada polis, berbanding dengan hanya amaran seperti kepada penduduk Taman Tanah Putih Baru.

Kita sudah beri peringatan dan seharusnya orang ramai duduk sahaja di rumah dalam tempoh 14 hari ini melainkan ada urusan yang membolehkan mereka keluar dengan pematuhan kepada SOP kerana kita tidak terima alasan remeh," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!