X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Perlu janji temu sebelum berurusan di kaunter TH

Tabung Haji
A
A

SHAH ALAM - Bermula Selasa ini, pelanggan perlu membuat janji temu terlebih dahulu untuk berurusan di kaunter Tabung Haji (TH) selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, pelanggan boleh membuat janji temu dengan melayari laman web www.tabunghaji.gov.my yang akan dimuat naik bermula Isnin.

“Para pendeposit yang hadir hendaklah memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup separuh muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruangan pejabat.

“Bilangan pendeposit dalam ruangan pejabat juga akan dihadkan bagi memastikan SOP terpelihara dan perlu mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis TH,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mustakim berkata, pelanggan boleh membuat janji temu bermula jam 9.30 pagi hingga 1 petang setiap hari kecuali pada hari minggu dan cuti umum.

Selain itu, beliau berkata, TH menggalakkan pendeposit supaya menggunakan kemudahan dan perkhidmatan THiJARI yang disediakan.

“Pendeposit juga boleh memilih saluran perkhidmatan elektronik dan dalam talian bank Rakan Strategik TH dan Ejen Kutipan TH di lebih 10,000 titik sentuh seluruh negara terutama sepanjang tempoh PKP 3.0 diperketatkan ini.

“Bagi para pendeposit yang ingin mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat awal berkaitan Hibah Amanah dan urusan pusaka, TH juga menyediakan kemudahan panggilan semula atau 'call back' yang turut boleh diakses melalui laman web TH,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!