Lima pelesit rempit 'superman' dicekup

Antara aksi 'superman' penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi di Lebuhraya AKLEH, Kuala Lumpur pada Ahad.
Antara aksi 'superman' penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi di Lebuhraya AKLEH, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbuatan lima penunggang motosikal melakukan aksi 'superman' mengundang padah apabila dicekup polis di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi Op Samseng Jalanan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.

"Lima lelaki tempatan berusia 17 hingga 27 tahun itu ditahan selepas dikesan melakukan aksi 'superman' dan menunggang dengan berbahaya.

"Semua motosikal diguna penunggang terbabit telah disita untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah Zulkefly, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membanteras sepenuhnya gejala pelesit rempit ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan: