Mahkamah Sydney tolak permohonan suaka politik Sirul Azhar

Sirul-Azhar-Umar-dan-Altantuya
Sirul-Azhar-Umar-dan-Altantuya
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Sirul Azhar Umar gagal dalam permohonan untuk mendapatkan suaka politik di Mahkamah Sydney, Australia Isnin lalu.

Lelaki berusia 47 tahun itu yang disabitkan atas kesalahan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu itu akan dihantar pulang jika Malaysia memansuhkan undang-undang hukuman mati.

Ini kerana undang-undang Australia melarang penghantaran pesalah yang berdepan hukuman mati di negara asal.

Bagaimanapun, menurut laporan portal berita Australia, ABC, tribunal tersebut memberikan alasan rayuan Sirul Azhar itu bukan jenayah politik.

“Terdapat alasan serius dengan mempertimbangkan pemohon melakukan serius jenayah bukan politik di Malaysia sebelum masuk ke Australia,” kata tribunal tersebut.

Dalam pada itu, seorang rakan Sirul Azhar yang enggan dikenali berkata, Sirul membuat rayuan tersebut Tribunal Rayuan Pentadbiran di Sydney.

“Dia mahu dibebaskan dalam masyarakat Australia, dibebaskan dari tahanan supaya dia boleh masuk dan hidup dalam masyarakat Australia, kerana katanya jenayah dia adalah jenayah politik,” katanya yang juga merupakan seorang rakyat Malaysia.

Sirul Azhar kini ditahan di Pusat Tahanan Villawood sejak tiga tahun lalu pernah menggemparkan negara apabila bersedia untuk pulang ke Malaysia dan mendedahkan kes bunuh yang melibatkan dirinya jika diberikan pengampunan.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa atas pertuduhan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang, Selangor.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 bagaimanapun menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-duanya selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada tarikh tersebut hanya Azilah yang hadir dan mahkamah itu telah mengeluarkan waran tangkap dan perintah komital terhadap Sirul Azhar ekoran ketidakhadirannya ke mahkamah.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 58, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.