Kereta meletup: Polis Kelantan nafi mesej tular dakwa serangan dron

Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Simpang Empat Kampung Sireh, pada Jumaat. - Foto Facebook pembaca
Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Simpang Empat Kampung Sireh, pada Jumaat. - Foto Facebook pembaca
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menafikan dakwaan bahawa insiden letupan melibatkan sebuah kenderaan sehingga seorang lelaki maut di Persimpangan Kampung Sireh di sini pada Jumaat lepas kerana dibom seperti yang tular dalam aplikasi WhatsApp sejak Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan Unit Bom Bukit Aman dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.

"Hasil pemeriksaan akan diketahui dalam masa terdekat selepas kedua-dua unit terlibat selesai menjalankan siasatan. Berdasarkan maklumat awal daripada saksi mengatakan terdapat asap keluar melalui bonet kereta mangsa sebelum berlakunya letupan," katanya.

Shafien berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas (Penguatkuasaan Mencegah Covid-19) di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai satu mesej dalam WhatsApp yang tular dengan insiden letupan tersebut berlaku kerana serangan dron dan bukannya dipanah petir.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, kereta bawa mercun meletup

Dalam pada itu, Shafien berkata, sepanjang siasatan dijalankan di lokasi kejadian, laluan dari arah Pintu Geng menghala ke Lembah Sireh ditutup sementara sehingga dimaklumkan kemudian.

"Penduduk di Lembah Sireh, Pintu Geng, Taman Guru, Salor Lama, Pendek boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persekutuan Kuala Krai-Kota Bharu terus ke Wakaf Che Yeh-Telipot-Wakaf Siku.

Artikel Berkaitan:

"Bagi yang bekerja di dalam kawasan laluan yang ditutup seperti Wisma Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan Pejabat Pos Kota Darul Naim berdekatan lokasi, dikehendaki memaklumkan terlebih dahulu kepada anggota bertugas untuk tapisan," katanya.

Dilaporkan, seorang lelaki berusia 49 tahun maut apabila kereta yang dipandunya putus dua disyaki akibat daripada letupan mercun yang dibawa di dalam keretanya, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang pada 21 Mei lepas. - Bernama