KDN rampas al-Quran tidak sah bernilai RM502,800

Feisal menunjukkan al-Quran yang dicop dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri.
Feisal menunjukkan al-Quran yang dicop dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri.
A
A
A

KLANG - Kementerian Dalam Negeri merampas 5,050 naskhah al-Quran dari Indonesia yang menyalahi Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 bernilai RM502,800.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri Selangor, Feisal Mohamed Ali berkata, rampasan tersebut dilakukan pada 18 Februari lalu susulan maklumat dari Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Utara yang mengesan cubaan membawa masuk sejumlah besar naskhah al-Quran tanpa diisytiharkan.

"Hasil pemeriksaan terperinci, kita merampas 192 kotak dengan jumlah 5,050 naskhah al-Quran. Daripada jumlah tersebut 2,700 naskhah bersaiz lapan inci dan 2,390 naskhah bersaiz A4.

"Kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 7(1) APTQ 1986 (Teks Al-Quran yang diimport). Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Menurutnya, al-Quran tersebut dipercayai adalah untuk pasaran tempatan dan kemungkinan besar dijual secara dalam talian kerana permintaan yang tinggi buat masa sekarang.

"Al-Quran ini dibimbangi kandungannya menyalahi sama ada dari segi ayat, baris dan boleh menyebabkan orang Islam salah membaca serta menyimpang daripada maksudnya.

"Kandungan al-Quran ini juga dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi," katanya.

Mengulas lanjut, Feisal berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mendapati naskhah al-Quran yang dirampas itu juga tidak mengikut konsep resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, kita berusaha menjejak pemilik dan pengimport al-Quran tersebut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menggerakkan pegawai untuk melakukan pemeriksaan di pejabat pos, pusat kurier dan premis yang menjual al-Quran.

"Orang ramai boleh melihat sama ada al-Quran yang dibeli itu mendapat kelulusan atau tidak menerusi cop dan hologram Kementerian Dalam Negeri. Jika tiada kelulusan, jangan beli," katanya.