Kartel daging: Empat pegawai Maqis, pengurus syarikat didakwa

Nor Azlan (kanan) berdepan lima pertuduhan rasuah.
Nor Azlan (kanan) berdepan lima pertuduhan rasuah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Empat penolong pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pengurus syarikat logistik didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Khamis atas 10 pertuduhan rasuah berkaitan kes kartel daging sejuk beku antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, dua penolong pegawai berkenaan iaitu Nor Azlan Mat Suki, 40, dan Mohd Hafizan Khalid, 44, serta Pengurus Syarikat QFF Logistics Sdn Bhd, Abdul Latif A Rahman, 55, mengaku tidak bersalah.

Dua lagi tertuduh yang juga penolong pegawai penguatkuasa Maqis iaitu Khairul Izat Sulaiman, 31, dan Mohammad Sofyan Mohd Zain, 27, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Bin Ismail.

Tertuduh, Nor Azlan Mat Suki, 40, berdepan lima pertuduhan menerima rasuah daripada seorang individu berusia 37 tahun, berjumlah RM35,000 sebagai upah melepaskan 40 kontena antara Februari hingga April tahun 2017, di sebuah restoran di Nusajaya di sini yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn. Bhd. dari negara yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Veterinar Malaysia.

Tertuduh, Mohd Hafizan Khalid, 44, pula berdepan satu pertuduhan menerima rasuah daripada individu yang sama, berjumlah RM2,500 sebagai upah untuk melepaskan sebuah kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn. Bhd. dari negara yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Veterinar Malaysia pada bulan Disember 2016, di sebuah restoran di Johor Bahru.

Abdul Latif (tengah) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad.
Abdul Latif (tengah) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad.

Kedua-dua telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pengurus Syarikat QFF Logistics Sdn Bhd, Abdul Latif A Rahman, 55, pula mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan terhadapnya.

Dia didakwa telah memalsukan dua dokumen Borang Pengakuan Barang-Barang Yang Diimport dengan menggunakannya sebagai tulen bagi Syarikat LY Frozen Sdn. Bhd. pada 5 Oktober dan 9 November 2020 di Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, di sini.

Abdul Latif didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Khairul Izat dan Mohammad Sofyan pula mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian sogokan, masing-masing RM100 dan RM30 daripada Abdul Latif sebagai ejen penghantaran QFF Logistic Sdn. Bhd. bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Maqis, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, di sini pada 5 Oktober dan 10 November 2020.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Nor Azlan diwakili peguam bela, Peter Tan manakala Mohd. Hafizan dan Abdul Latif masing-masing diwakili Mohd. Razak Sharif dan S. Vijaya sementara Khairul Izat dan Mohammad Sofyan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Nor Azlan dan Mohd. Hafizan dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang manakala Abdul Latif RM8,000 dan Mohammad Sofyan RM5,000.

Dalam pada itu, Khairul Izat didenda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, selepas mengaku bersalah atas kesalahan gagal melaporkan penerimaan rasuah sebanyak RM100.

Mengikut fakta kes, Khairul Izat menerima rasuah RM100 daripada Abdul Latif, sebagai balasan meluluskan konsainan import yang dilabel 'frozen beef body fat' pada 10 November tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan berkenaan selepas berpuas hati dengan mitigasi yang dilakukan Suhaili dan peguam, S Selvam.