Banjir: Bekalan elektrik dia Beaufort, Tenom terjejas

Sebuah rumah yang turut terjejas dengan banjir di Kampung Lama Tenom ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
Sebuah rumah yang turut terjejas dengan banjir di Kampung Lama Tenom ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TENOM - Bekalan elektrik kepada kira-kira 7,000 pengguna di Beaufort dan 3,000 pengguna di Tenom terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah itu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Norhizami Abu Hasan berkata, perkara itu antara lain disebabkan 66 pencawang elektrik (PE) di daerah Beaufort dan 18 buah PE di daerah Tenom terpaksa dihenti tugas atas faktor keselamatan.

“Kerja-kerja pemulihan bekalan akan dilaksanakan secara berperingkat apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian...umum mengetahui melakukan kerja-kerja berkaitan arus elektrik dalam keadaan cuaca buruk amat berbahaya,

“Justeru, SESB berharap agar pengguna memahami keadaan ini dan bersabar kerana pasukan tunggu sedia akan melaksanakan pemulihan bekalan di kawasan-kawasan terjejas akibat banjir dengan segera dalam keadaan yang selamat," katanya kepada Bernama.

Jumlah mangsa banjir di Sabah mencatatkan sedikit peningkatan apabila 4,832 orang masih berlindung di 39 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pagi ini berbanding 4,792 orang malam tadi, dengan 4,221 mangsa di Tenom dan 611 di Beaufort.

Sementara itu, tinjauan Bernama di daerah Tenom mendapati kawasan itu terjejas teruk akibat banjir yang melibatkan 33 kampung, dan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi adalah antara yang terkesan kerana tidak dapat beroperasi pada paras optimum akibat paras air sungai yang tinggi.

Pengurus Besar (Penjanaan) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Jait Aziz menunjukkan Stesen Janakuasa Hidro Pangi Tenom hari ini. Foto Bernama
Pengurus Besar (Penjanaan) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Jait Aziz menunjukkan Stesen Janakuasa Hidro Pangi Tenom hari ini. Foto Bernama

Pengurus Besar (Penjanaan) SESB Jait Aziz berkata limpahan air sungai berpunca daripada hujan berterusan menyebabkan paras air sungai semakin meningkat dan pintu penghadang Stesen Jana kuasa Hidro Tenom Pangi terpaksa dibuka untuk melepaskan air daripada stesen jana kuasa hidro tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik sahaja paras air melebihi maksimum kami terpaksa membuat pelepasan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk...saya juga ingin menyatakan bahawa operasi stesen ini akan kembali seperti sedia kala sebaik sahaja paras air kembali normal dan tidak berbahaya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi situasi itu kira-kira seminggu dan 64 orang petugas telah bersiap sedia untuk memastikan kapasiti bekalan elektrik mencukupi mengikut piawaian yang telah ditetapkan sehingga stesen itu mampu beroperasi pada tahap optimum.

Kartini Maisdun, 31, ibu kepada empat orang anak, seorang daripada mangsa banjir terpaksa meninggalkan rumah mereka terletak berhampiran Sungai Padas di sini yang dilanda banjir terpaksa berpindah sementara di sebuah stesen keretapi lama di sini.

“Setakat ini kami memilih untuk tinggal berdekatan dengan kawasan rumah untuk menjaga harta benda bagi mengelakkan berlakunya kecurian seperti tahun-tahun lepas. PDRM dan Jabatan Kebajikan Malaysia sentiasa datang untuk memantau keadaan mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata paras air Sungai Padas kini semakin meningkat dengan arus semakin deras menimbulkan kerisauan penduduk, justeru mereka akan berpindah ke PPS terletak di Pekan Tenom sekiranya situasi banjir bertambah buruk. - Bernama