Dividen LTAT meningkat hasil usaha kerajaan PH: Faiz Fadzil

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen yang tinggi pada tahun 2020 menunjukkan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) menstruktur semula badan berkanun itu membuahkan hasil.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, PH ketika menjadi kerajaan memperbetulkan semula masalah tadbir urus LTAT menerusi Pelan Transformasi LTAT.

Beliau berkata, kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu telah membawa kepada kemerosotan serta kegagalan tadbir urus LTAT yang amat membebankan.

Menurutnya, bekas Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed turut mendedahkan bahawa terdapat dua urus niaga yang dijalankan pentadbiran BN tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan Jabatan Audit Negara (JAN) menerusi laporan Kewangan Tahun 2017.

"Rosot nilai sebanyak RM88.9 juta tidak laporkan, malah untung bagi tahun 2017 sengaja ditokok tambah dengan melaporkan keuntungan sebanyak RM203 juta daripada transaksi hartanah yang belum diselesaikan.

"Masalah ini menyebabkan LTAT menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM 31.6 juta dan memberi implikasi besar kepada kewangan organisasi.

"Sikap tidak bertanggungjawab pentadbiran BN membayar dividen tinggi ketika LTAT rugi besar demi mendapat ‘skor politik’ pada tahun 2017 telah memburukkan lagi tadbir urus LTAT yang sudah lemah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, pentadbiran baharu LTAT ketika pemerintahan kerajaan PH telah memperkenalkan Pelan Transformasi LTAT bagi mengatasi masalah tadbir urus kewangan badan berkanun tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelan berkenaan menekankan aspek pengimbangan pelaburan semasa, menambah baik tadbir urus korporat dan pengurusan risiko LTAT dalam tempoh jangka panjang.

"Kelemahan tadbir urus LTAT sebelum ini menyebabkan kadar dividen yang diberikan untuk ahli hanya dua peratus pada tahun 2018. Namun, selepas Pelan Transformasi LTAT dilaksanakan, kadar dividen bagi ahli meningkat kepada 2.5 peratus pada tahun 2019 dan kini meningkat kepada 3.5 peratus pada tahun 2020.

"Ternyata, kejayaan LTAT hari ini adalah hasil usaha sama kepimpinan LTAT dan kerajaan PH untuk mengembalikan integriti dan kecekapan tadbir urus LTAT," katanya.

Tambah beliau, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada 11 Mei lalu mengakui bahawa faktor LTAT mampu memberi dividen yang tinggi pada tahun 2020 adalah disebabkan kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi melalui Pelan Transformasi LTAT.

Pada 11 Mei lalu, LTAT mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 2.5 peratus pada tahun 2019.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, LTAT mampu mengisytiharkan peningkatan dividen bagi 2020 berikutan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM229 juta berbanding RM92.8 juta pada tahun 2019.