Nilai 3 jadi trending gara-gara Neelofa

Gambar kiri:Tweet antara Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar Selangor.
Antara bahan yang dimuat naik oleh netizen di media sosial.
Gambar kiri:Tweet antara Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar Selangor. Antara bahan yang dimuat naik oleh netizen di media sosial.
A
A
A

SEREMBAN - Gara-gara bekas pengacara Meletop, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa tidak dituduh atas kesalahan merentas negeri, kini Nilai 3 pula dijadikan 'bahan' perebutan antara Negeri Sembilan dan Selangor.

Rata-rata netizen di media sosial, memuat naik status yang mengatakan Nilai 3 kini sudah 'berpindah' ke Selangor, menyebabkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun membuat ciapan mengusik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai Nilai 3.

Menerusi ciapan di Tweeter milik Aminuddin Harun, beliau mengusik dengan menulis 'berapa harga nak beli Nilai 3 ya?.

Ciapan tersebut kemudiannya, dibalas Amirudin Shari 'Hahaha kena bincang dengan juru nilai' yang kemudiannya dibalas dengan jawapan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan 'kejap, saya ukur Nilai 3'.

Ciapan tersebut kemudiannya disampuk oleh seorang individu yang menawarkan perkhidmatan ukur tanah, sambil menulis janganlah jual Nilai 3 Datuk.

Aminuddin kemudiannya membalas dengan jawapan, beliau hanya sekadar bergurau dan mengusik semata-mata berhubung ciapan tersebut.

Antara bahan yang dimuat naik mengubah kedudukan Nilai 3 di Selangor.
Antara bahan yang dimuat naik mengubah kedudukan Nilai 3 di Selangor.

Selepas cerita laksa, kini Nilai 3 pula menjadi trending, sehingga ada yang mengubah fakta dan peta Selangor, bahawa Nilai 3 kini berada di wilayah Selangor.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB

Trending isu ini bermula apabila tiada sebarang pendakwaan rentas negeri dikenakan terhadap Neelofa yang datang ke Nilai 3 untuk membeli karpet pada 2 Mei lalu.

Bagaimanapun, selebriti itu hanya dikenakan pendakwaan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis terbabit atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Sementara itu, suaminya, Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz pula didakwa atas dua pertuduhan, iaitu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Pasangan itu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, kemudiannya mengaku tidak bersalah dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Jun.