Hanya tiga katil kosong di ICU HRPZ II

Dr Azman (kiri) memeriksa keadaan PKRC Gelanggang Seni ketika mengadakan lawatan pada Ahad.
Dr Azman (kiri) memeriksa keadaan PKRC Gelanggang Seni ketika mengadakan lawatan pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Hanya ada tiga buah katil yang kosong bagi menempatkan pesakit tahap empat dan lima Covid-19 di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Pendedahan itu dikongsi sendiri oleh Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di Gelanggang Seni di sini pada Ahad.

Dr Azman berkata, setiap hari kapasiti ICU HRPZ II yang mempunyai 42 katil berada pada tahap penggunaan 90 hingga 95 peratus bagi merawat pesakit Covid-19.

"Pernah satu ketika semua 42 katil di wad itu penuh. Ini menunjukkan serangan pandemik Covid-19 di negeri ini semakin membimbangkan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kes terus meningkat tidak mustahil Kelantan terpaksa membuka hospital medan bagi menempatkan ICU dengan bantuan tentera.

Dr Azman berkata, rakyat di negeri ini disaran terus patuh dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.

Katanya, golongan yang mempunyai simptom Covid-19 perlu segera hadir untuk menjalani ujian saringan.

"Langkah ini penting bagi memastikan kita dapat mengekang lebih awal penularan pandemik itu. Jangan tunggu arahan pihak berkuasa baru hendak bertindak," katanya.

Artikel Berkaitan: