'Perak perlu contohi Selangor buat saringan besar-besaran'

Ciapan Nga Kor Ming di Twitter berhubung cadangan agar kerajaan Perak menjalankan saringan Covid-19 besar-besaran sepertimana Selangor.
Ciapan Nga Kor Ming di Twitter berhubung cadangan agar kerajaan Perak menjalankan saringan Covid-19 besar-besaran sepertimana Selangor.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak digesa mencontohi Selangor dengan menjalankan ujian saringan secara besar-besaran susulan peningkatan kes yang tinggi sejak dua minggu lalu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, langkah itu bagi mengenal pasti dan mengawal mereka yang positif Covid-19 terutama di daerah yang merekodkan kes tinggi.

"Kerajaan negeri Selangor sudah mula buat saringan besar-besaran secara percuma sejak 8 Mei lalu dan sehingga kini mereka telah membantu lebih 22,000 rakyat membuat saringan di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Di Perak dengan kes yang tinggi adalah wajib untuk memberi khidmat saringan percuma dengan segera khususnya di kawasan yang berisiko tinggi sepertimana dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, kes Covid-19 di Perak telah menunjukkan peningkatan160 peratus dalam tempoh 14 hari sehingga menyebabkan empat mukim di empat daerah negeri ini diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif dengan segera antaranya melaksanakan saringan dalam skala besar bagi mengelak penularan kes dan jangkitan positif Covid-19 yang lebih tinggi.

"Testing dan tracking adalah antara kaedah penting untuk mengenal pasti punca jangkitan dan memberi gambaran yang lebih tepat jumlah kes Covid-19.

"Segala kelewatan adalah kepincangan besar yang harus ditegur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal Mei lalu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan saringan Covid-19 besar-besaran dijalankan di seluruh negeri bermula 8 Mei hingga 10 Jun.

Perak pada Sabtu merekodkan 276 kes baharu dengan 265 kes jangkitan tempatan sementara 15 lagi kes jangkitan dari luar Perak.

Kerajaan telah mengumumkan empat mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta, dan Hulu Bernam Timur dikenakan PKPD mulai 22 Mei sehingga 4 Jun depan.