Pegawai perikanan dituduh salah guna kuasa

Tertuduh (kiri) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi berdepan lima pertuduhan salah guna kuasa pada Ahad.
Tertuduh (kiri) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi berdepan lima pertuduhan salah guna kuasa pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang Pegawai Jabatan Perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas lima pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan pesanan kerajaan atas nama syarikat adik iparnya membabitkan urusan pembekalan makanan ikan, hormon ikan dan benih ikan kerapu bernilai RM31,425 dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rafi Hassan, 56, didakwa di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai Ketua Cawangan Akuakultur Pejabat Perikanan Kelantan untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan pesanan kerajaan atas nama pembekal syarikat adik iparnya, YY Indah Enterprise bagi membekal dan menghantar 1,000 ekor ikan kerapu hibrid bernilai RM6,900 pada 22 Januari 2019 di Pejabat Perikanan Kelantan.

Kedua, tertuduh dituduh atas kesalahan sama membabitkan dakwaan meluluskan pesanan kerajaan bagi membekal dan menghantar hormon pembiakan ikan - hormon ovaprin 10 mililiter bernilai RM7,500 ke Pusat Pengembangan Akuakultur Machang pada 31 Januari 2019.

Ketiga, bagi tuduhan meluluskan pesanan kerajaan bagi membekal makanan ikan hidup kepada Rega Ikan Ternakan (Artemia) bernilai RM15,800 pada 27 Mac 2019.

Keempat, tertuduh didakwa meluluskan pesanan kerajaan bagi membekal dan menghantar hormon overprim bernilai RM725 kepada seorang penternak ikan air tawar pada 3 April 2019.

Sementara tuduhan kelima membabitkan dakwaan meluluskan pesanan kerajaan membekal makanan ikan Artemia International Kadar Penetasan 80 peratus berjumlah 425 gram bernilai RM500 kepada seorang penternak ikan hiasan pada 3 April 2019.

Kesemua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali mencadangkan jaminan RM10,000 bagaimanapun peguam bela, Cheah Poh Loon yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap 1 hari bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Julai depan dan tertuduh membayar wang jaminan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa dengan meluluskan tender kepada syarikat milik adik ipar bernilai RM71,694 pada Mei 2019 di mahkamah sama pada 29 Mac lalu.

Tertuduh (kiri) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi berdepan lima pertuduhan salah guna kuasa pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai perikanan tidak mengaku salah luluskan tender adik ipar