Perhilitan pasang perangkap buaya di Sungai Pilin

Kelihatan buaya tembaga sedang berjemur di Sungai Pilin, Rembau. FOTO: Ihsan orang awam
Kelihatan buaya tembaga sedang berjemur di Sungai Pilin, Rembau. FOTO: Ihsan orang awam
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah memasang perangkap bagi menangkap seekor buaya yang dilaporkan muncul di Sungai Pilin, Rembau pada Sabtu.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan tersebut dan terus memantau demi keselamatan penduduk kampung.

Menurut beliau, pihaknya juga akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan bersesuaian bagi keselamatan semua.

"Kita telah memasang perangkap buaya di Kampung Paya Lebar, Sungai Pilin, sebaik sahaja terdapat aduan mengenai kelibat buaya di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini, aduan yang diterima di Kampung Paya Lebar buaya sepanjang dua meter telah kelihatan, tetapi aduan terbaru ini kita akan siasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, lokasi sungai berkenaan merupakan antara habitat buaya dan terletak berdekatan Sungai Timun, Lubuk China.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak bermain di sekitar kawasan tersebut," katanya.

Pada Sabtu, seorang penduduk terkejut apabila terlihat seekor buaya tembaga sedang ‘bersantai’ di tebing Sungai Sawah Raja, Rembau.

Artikel Berkaitan:

Penduduk berkenaan, Zainurin Zakaria, 54, berkata, dia sempat merakam gambar buaya tembaga sepanjang hampir dua meter berkenaan sebelum buaya tersebut masuk semula ke dalam sungai.

Gambar buaya tersebut kemudiannya tular di media sosial sebagai tanda peringatan dan waspada kepada penduduk sekitar.