Polis mulakan siasatan isu scam sumbangan vaksin Covid-19

Sahabudin
Sahabudin
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah merekodkan keterangan beberapa individu termasuk penulis surat tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 yang diberikan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati penulis surat itu bukanlah Pengarah Urusan Syarikat Xintai Development Enterprise Ltd sepertimana yang dinyatakan di dalam surat berkenaan.

Sebaliknya, menurut Sahabudin, penulis surat terbabit hanyalah wakil kepada syarikat yang dilantik secara lisan.

"Ketika keteranan diambil, penulis surat itu mengesahkan bahawa tandatangan pada surat yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang adalah miliknya.

"Kita akan menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan pengesahan status pendaftaran syarikat itu serta peranan penulis surat yang mengeluarkan tawaran terbabit kepada kerajaan negeri," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Ahad.

Terdahulu Sahabudin berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh seorang individu pada 19 Mei bersabit kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyatakan tentang sumbangan vaksin kepada kerajaan negeri Pulau Pinang adalah sebuah penipuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang kena scam: Khairy

Penyumbang vaksin Pulau Pinang enggan tunjuk bukti: Khairy

Artikel Berkaitan:

Ekoran daripada laporan polis itu, Sahabudin berkata, satu siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, sehingga kini terdapat enam laporan polis telah dibuat oleh beberapa individu yang mewakili beberapa parti politik termasuk daripada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Siasatan masih di peringkat awal, beberapa tindakan perlu diambil iaitu merakam percakapan saksi-saksi daripada pihak syarikat yang berkaitan serta saksi-saksi daripada Pejabat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Kertas siasatan akan diedarkan ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk nasihat dan pandangan setelah semua tindakan siasatan selesai diambil," katanya.