PPV sesak: 799 orang hadir tidak ikut janji temu

Keadaan sesak di pekarangan PPV Stadium Indera Mulia pada Jumaat lepas dengan kehadiran orang ramai bagi mendapatkan suntikan imunisasi. - Foto Twitter MCA
Keadaan sesak di pekarangan PPV Stadium Indera Mulia pada Jumaat lepas dengan kehadiran orang ramai bagi mendapatkan suntikan imunisasi. - Foto Twitter MCA
A
A
A

IPOH - Individu hadir tidak patuh waktu janji temu antara punca berlaku kesesakan luar biasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini pada Jumaat lepas.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, jumlah sebenar janji temu yang diberikan melalui MySejahtera pada 21 Mei itu adalah seramai 1,570 orang.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat 799 individu telah hadir bersama pengiring masing-masing tanpa janji temu mengakibatkan kesesakan di PPV terbabit.

Dr Ding Lay Ming
Dr Ding Lay Ming

"Orang ramai ini merupakan defaulters iaitu mereka yang telah gagal untuk hadir pada hari janji temu yang ditetapkan oleh MySejahtera.

"Mereka telah hadir secara beramai-ramai untuk cuba mendapatkan vaksinasi tanpa jadual baru disebabkan hari berikutnya telah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini telah menimbulkan kesesakan yang luar biasa sementara pihak pengurusan PPV menyelesaikan pemberian tarikh janji temu baru," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengenai rungutan orang ramai berhubung kesesakan di situ sehingga bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu untuk mereka yang hadir mendapatkan imunisasi tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Kesesakan luar biasa di PPV Stadium Indera Mulia pada Jumaat lepas menyebabkan bilangan kerusi di ruang menunggu untuk mereka yang hadir mendapatkan imunisasi tidak mencukupi. - Foto Twitter MCA
Kesesakan luar biasa di PPV Stadium Indera Mulia pada Jumaat lepas menyebabkan bilangan kerusi di ruang menunggu untuk mereka yang hadir mendapatkan imunisasi tidak mencukupi. - Foto Twitter MCA

Terdapat juga video orang awam tular yang mempertikai tindakan pengurusan Tabung Haji membawa jemaah bakal haji mendapatkan suntikan vaksinasi di situ yang didakwa dibuat tanpa janji temu.

Menjelaskan perkara itu, Lay Ming berkata, bagi PPV Stadium Indera Mulia, seramai 298 bakal haji telah dikenal pasti untuk menerima vaksin.

Katanya, semua bakal haji itu telah diberi janji temu dua minggu lebih awal dan pada tarikh berkenaan iaitu hari kejadian, seramai 70 bakal haji telah dijadualkan untuk diberi suntikan pada sesi petang.

"Orang ramai diingatkan untuk hadir mengikut janji temu yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang gagal hadir tarikh ditetapkan, penjadualan semula tarikh janji temu perlu dilakukan dengan menghubungi Helpdesk MySejahtera.

"Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 ( JKJAV), tiada pemberian vaksin akan diberikan tanpa janji temu atau secara walk-in," katanya.

Kesesakan luar biasa di PPV Stadium Indera Mulia pada Jumaat lepas. - Foto Twitter MCA
Kesesakan luar biasa di PPV Stadium Indera Mulia pada Jumaat lepas. - Foto Twitter MCA

Beliau berkata, pemberian vaksin Covid-19 di PPV Stadium Indera Mulia sudah bermula dari 24 Februari lepas dengan purata pemberian vaksin seramai 1,500 orang sehari.

Menurutnya, proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar dan keadaan adalah terkawal.

"Kita dukacita dengan kejadian kesesakan orang ramai yang berlaku di PPV Stadium Indera Mulia.

"Pihak Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) Daerah dan Negeri akan terus mengenal pasti langkah-langkah bagi menambah baik keadaan di PPV supaya kejadian yang sama tidak berulang.

"Kerjasama orang ramai juga amat diperlukan bagi mengelakkan kesesakan di PPV," katanya.

Pada Mac lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu bahawa PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh adalah PVV daerah paling tinggi vaksinasi dalam negara dengan kapasiti lebih 1,500 penerima vaksin sehari.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan empat mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta, dan Hulu Bernam Timur dikenakan PKP Diperketat (PKPD) mulai 22 Mei sehingga 4 Jun depan.