Desak PM berundur: DAP perlu tegur Cheng Hau

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A
SEMENYIH - Kepimpinan DAP digesa memberikan teguran serta peringatan tegas terhadap seorang pemimpinnya yang mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Gesaan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menyifatkan tindakan Dr Boo Cheng Hau itu adalah biadab selain menunjukkan Ahli Jawatankuasa DAP Johor itu tidak memahami situasi sebenar yang berlaku dalam negara ketika ini.

Katanya, kenyataan Dr. Mahathir yang menegaskan manifesto Pakatan Harapan (PH) 'bukan kitab suci, ia hanya panduan' itu bukan bermaksud untuk memperlekeh atau tidak yakin dengan perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto itu.

Sebaliknya, pelaksanaan manifesto tersebut bergantung kepada kemampuan kerajaan yang ketika ini sedang berusaha keras melaksanakan proses pemulihan serta pembetulan semula pentadbiran dan ekonomi negara yang telah ditinggalkan oleh kerajaan dahulu.

"Apa sebenarnya motif beliau (Cheng Hau) cuba mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri mengenai soal manifesto itu sedangkan semua pemimpin dalam PH termasuklah daripada DAP sendiri tahu bahawa untuk menunaikan kesemua janji dalam manifesto itu bukan satu perkara mudah.

"Kadang-kadang kita perlu berfikiran praktikal, bukannya membuat desakan murahan seumpama itu," tegasnya yang turut mengingatkan Cheng Hau bahawa pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri merupakan keputusan bersama semua pimpinan parti dalam PH.

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin PH tidak menafikan peranan Dr. Mahathir dalam menumbangkan kerajaan pimpinan BN pada pilihan raya umum lalu.

Cheng Hau semalam dilaporkan mendesak Dr. Mahathir meletak jawatan kerana memperlekeh manifesto PRU14 PH.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar tidak ada masalah dengan pendirian Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang menyatakan sokongan mereka terhadap calon BN, Zakaria Hanafi dalam PRK DUN Semenyih atas prinsip demokrasi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pendirian Perkasa itu seolah-olah tidak jelas kerana BN selama ini telah gagal menjaga kepentingan orang Melayu terutamanya dari segi peningkatan penguasaan ekuiti Bumiputera.

"Saya nak tanya, di mana Perkasa ketika rakyat bangkit mempersoalkan masalah ketirisan dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

"Saya adalah bekas Yang Dipertua Perkasa Selangor dan bekas Ahli Dewan Tertinggi Perkasa Malaysia. Saya tahu selok-belok dan kedudukan sebenar Perkasa di DUN Semenyih.