Ujian saringan percuma ringankan beban rakyat Selangor

Sebanyak tiga kumpulan perubatan ditugaskan di kaunter ujian saringan Covid-19 secara 'walk-in'.
Sebanyak tiga kumpulan perubatan ditugaskan di kaunter ujian saringan Covid-19 secara 'walk-in'.
A
A
A

PUCHONG - Langkah kerajaan negeri Selangor melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada rakyat negeri ini membantu meringankan beban golongan B40 dan mereka yang kehilangan pekerjaan serta dipotong gaji akibat pandemik tersebut.

Tinjauan Sinar Harian sempena ujian saringan di Dewan Serbaguna Puchong Utama di sini pada Sabtu mendapati rata-rata berasa lega dengan inisiatif kerajaan negeri Selangor itu.

Tinjauan turut mendapati orang ramai diberi pilihan untuk datang secara ‘walk-in’ atau pandu lalu di dewan tersebut, selain laluan khas disediakan bagi mereka yang membawa kanak-kanak, wanita mengandung, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Korporat Selgate Corporation, Nurafida Zamri berkata, lebih 3,600 orang hadir menjalani ujian saringan di sini pada Sabtu.

Malah, katanya orang ramai mula beratur sejak jam 8 pagi di kawasan dewan serbaguna tersebut.

Orang ramai mula beratur di luar Dewan Serbaguna Puchong Utama, Puchong seawal jam 8 pagi.
Orang ramai mula beratur di luar Dewan Serbaguna Puchong Utama, Puchong seawal jam 8 pagi.

Menurutnya, sebanyak lima kumpulan petugas perubatan ditugaskan yang mana dua kumpulan bertugas di stesen ujian saringan pandu lalu, manakala selebihnya di kaunter ujian saringan secara ‘walk-in’.

“Kami menyediakan stesen ujian saringan secara pandu lalu di sini untuk memudahkan orang ramai yang tidak mahu keluar daripada kereta dan beratur panjang untuk menjalani ujian ini.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini sambutan yang kami terima daripada orang ramai di sini berkenaan ujian saringan Covid-19 secara percuma ini amat menggalakkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, salah seorang awam yang hadir, Noor Syakira Amirawati, 24, berkata, dia pernah merancang untuk menjalani ujian saringan di hospital swasta sebelum ini.

Namun disebabkan kosnya yang mahal, Noor Syakira terpaksa menangguhkan hasrat tersebut, ditambah pula dengan keadaan kewangannya yang kritikal akibat diberhentikan kerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

“Sebelum ini saya memang terfikir nak buat ujian saringan di hospital swasta, tapi kosnya mahal dan kami tidak mampu untuk membayarnya.

“Kalau kerajaan tak buat begini, kita tidak tahu sebenarnya ramai orang memerlukan bantuan sebegini kerana ada golongan yang diberhentikan kerja seperti saya yang tidak mampu untuk jalani ujian saringan Covid-19,” katanya yang tinggal di Puchong Hartamas di sini dan datang bersama tunangnya, Muhammad Izzat Isa, 30.

Orang ramai juga melalui ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu.
Orang ramai juga melalui ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu.

Bagi Mohd Noor Azmi Kohseni, 37, pula, dia memuji inisiatif kerajaan yang mengadakan ujian saringan Covid-19 percuma, sekali gus membantu golongan yang dipotong gaji akibat pandemik sepertinya.

Dia yang bekerja sebagai jurutera lanskap berkata, langkah seperti ini amat membantu golongan sepertinya untuk mengetahui tahap kesihatan sekeluarga dan risiko yang perlu dihadapi ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Bagi yang bekemampuan, mungkin mereka boleh buat di luar, tapi tidak salah jika kita ambil peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk menjalani ujian saringan ini.

“Pada saya inisiatif perlu diteruskan untuk golongan seperti kami kerana sekurang-kurangnya kita tahu tahap kesihatan dan risiko yang dihadapi ketika negara dilanda Covid-19,” katanya.

-end-