‘Israel Malapetaka Abad ini’

Walid Abu Ali
Walid Abu Ali
A
A
A

MENUJU penghujung Ramadan lalu, Palestin bermandi darah lagi. Seramai 232 penduduk Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terkorban. Lebih 1,900 lagi cedera manakala 120,000 hilang tempat tinggal. Serangan ganas selama 11 hari itu berakhir selepas Israel dan Hamas pada Khamis bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Konflik Israel-Palestin sebenarnya sudah berlangsung selama tujuh dekad, namun Israel jelas belum puas menjarah bumi para anbiya itu khususnya Masjid Al-Aqsa. Pada masa sama, Amerika Syarikat dan sekutunya terus menutup mata terhadap kekejaman dan kejahatan rejim Zionis.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini bercakap dari hati ke hati mengenai tragedi pilu itu.

Ikuti temu bual anak jati Tebing Barat itu bersama Timbalan Pengarang Berita, Zamri Rambli dan Junhairi Alyasa serta wartawan Liza Mokhtar, Muhammad Amnan Hibrahim dan jurugambar Rosli Talib di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apa komen anda berhubung insiden serangan dan pengeboman terbaru rejim Israel ke atas Gaza dan rakyat Palestin?

WALID: Situasi terkini di Palestin umpama berlaku malapetaka. Rakyat Palestin berdepan jenayah perang dan keganasan terhadap tanah air yang didalangi penduduk haram Israel di Palestin.

Jika kita bercakap tentang serangan udara dan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin, kita mesti melihat kembali punca terjadinya konflik.

Kita tidak boleh mengabaikan apa yang telah berlaku ketika minggu akhir bulan Ramadan lalu apabila pelampau Yahudi, polis dan tentera Israel menceroboh Masjid al-Aqsa ketika solat tarawih.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kita tidak boleh melupakan pencerobohan Israel di Sheikh Jarrah di mana mereka mengusir rakyat Palestin dari kediaman mereka agar Israel boleh mengambil alih.

Kita juga tidak boleh mengabaikan pilihan raya Israel yang menyaksikan Benjamin Netanyahu dilantik sebagai Perdana Menteri. Demi memenuhi cita-citanya membentuk kerajaan, beliau sanggup mencetuskan perang agar dapat mengambil kesempatan politik menyatukan rakyat Israel supaya mengundinya sekali gus meneruskan hasrat menubuhkan kerajaan.

Kita tidak boleh mengetepikan hakikat Israel menghalang rakyat Palestin mengadakan pilihan raya di Baitulmaqdis. Begitu juga syor Deal of the Century di mana bekas pentadbiran Amerika Syarikat (semasa Donald Trump menjadi presiden) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel serta memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Rakyat kami menolak dan enggan menerima Deal of the Century, sebaliknya menggelarnya sebagai Catastrophe of the Century (Malapetaka Abad Ini).

Semua tahu, rakyat Palestin hidup terseksa selama lebih dari tujuh dekad sejak tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1948.

Sekian lama juga mereka berjuang untuk mendapatkan kebebasan, kemerdekaan tanah air dan hak untuk hidup aman serta selamat di Asia Barat.

Seperti yang kami selalu tegaskan, isu utama kepada sebarang rundingan perjanjian damai di Asia Barat adalah pengiktirafan terhadap hak rakyat Palestin untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan hidup sama seperti negara lain di seluruh dunia.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini bercakap dari hati ke hati mengenai tragedi pilu itu.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini bercakap dari hati ke hati mengenai tragedi pilu itu.

Susulan sekatan dan serangan berterusan oleh rejim Israel, apakah keperluan utama rakyat Palestin terutama di Gaza ketika ini?

Pertama, kita harus menghentikan pertumpahan darah. Kami hidup dalam status perang, rakyat Palestin tidak berdosa menentang tentera Israel yang jauh lebih lengkap dan sofistikated dari segi ketenteraan. Dengan pesawat tempur seperti F50 dan F16, mereka menyasarkan orang awam, bangunan, hospital dan juga sekolah. Semua rakyat Palestin menjadi sasaran serangan.

Kedua, kita perlu menyediakan tempat perlindungan kepada ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Buat sementara waktu, mereka ini ditempatkan di sekolah-sekolah namun sekolah-sekolah tersebut juga menjadi sasaran misil Israel tempoh hari.

Bayangkan kehilangan tempat tinggal dan terpaksa ditempatkan di sekolah, mereka memerlukan pelbagai jenis bantuan dan rawatan kesihatan.

Mereka memerlukan makanan dan pakaian. Mereka memerlukan pelbagai jenis bantuan untuk keperluan keluarga, kanak-kanak, warga emas dan juga wanita.

Pada masa sama, Palestin turut berdepan pandemik Covid-19 dan jumlah kes amat tinggi. Angka terbaru direkodkan adalah melebihi 500 kes sehari manakala jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 pula kurang 2,000 kes.

Pihak hospital juga memerlukan pelbagai jenis bantuan bukan sahaja untuk menangani kes Covid-19 namun pada masa sama untuk merawat mangsa yang cedera akibat pencerobohan dan keganasan Israel.

Adakah anda berpendapat penindasan rejim Israel sekarang lebih buruk berbanding yang pernah berlaku sebelum ini?

Jenayah Israel adalah sama, tiada perbezaan. Mereka menggunakan peralatan perang paling sofistikated, mereka cuba menembak rakyat Palestin. Pada pandangan Israel, rakyat Palestin yang mati adalah lebih baik dan mereka menyasarkan semua rakyat Palestin.

Ketika kami memperjuangkan kebebasan, Israel tidak membeza-bezakan sama ada anda dari Gaza, Baitulmaqdis, Jenin atau Hebron.

Di mata Israel, semua rakyat Palestin adalah sama. Mereka tidak membezakan antara rakyat Palestin ketika menyerang dan mereka menggunakan semua peralatan dan teknologi canggih yang dimiliki.

Mereka menyasarkan rakyat Palestin dan tanpa mengambil kira orang awam di sekitarnya, mereka akan terus menembak. Mereka akan membunuh sesiapa sahaja yang berada berhampiran sasaran mereka.

Mereka tidak mempedulikan kanak-kanak dan wanita. Mereka tidak membezakan-bezakan antara rakyat Palestin. Sememangnya itulah strategi Israel, rakyat Palestin yang mati adalah lebih baik.

Pada pendapat anda, apakah solusi terbaik untuk menamatkan konflik Israel-Palestin ini?

Komuniti antarabangsa sedar akan realiti (di Palestin) dan mereka tahu demi memberikan peluang kepada semua pihak hidup aman di Asia Barat, mereka perlu mengiktiraf hak Palestin mendapatkan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara berdasarkan prasempadan 1967 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution yang dicadangkan sebagai solusi untuk kestabilan di rantau tersebut merupakan satu-satunya solusi yang akan memberi peluang kepada Israel dan Palestin untuk hidup aman.

Israel tidak akan boleh menikmati perdamaian, menikmati peluang penempatan di Asia Barat tanpa mengiktiraf hak Palestin dan negara Palestin yang merdeka. Amerika Syarikat tahu akan itu. Kesatuan Eropah, China dan Rusia malah seluruh komuniti antarabangsa juga tahu bahawa satu-satunya solusi adalah Penyelesaian Dua Negara.

Kami akan tetap meneruskan perjuangan. Apa yang tidak mampu kami capai akan dicapai oleh anak dan cucu kami.

Malaysia tidak pernah gentar untuk menunjukkan sokongan kepada Palestin dan rakyatnya. Pada pandangan anda, adakah sokongan yang diberikan itu dapat membantu rakyat Palestin menghadapi masa-masa sukar?

Dengan bangga saya ingin mengatakan bahawa saya berterima kasih kepada Malaysia. Malaysia sentiasa hebat dalam sokongannya terhadap Palestin. Ia adalah isu yang dekat pada hati setiap rakyat Malaysia.

Saya merasakan bahawa Palestin telah menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini juga mengenai isu Palestin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan supaya diadakan solat sunat khas di seluruh negara untuk mendoakan Palestin. Terima kasih kepada Seri Paduka Baginda.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerusi kenyataannya turut berusaha untuk mengkoordinasikan usaha bagi membuat satu pernyataan tegas bersama Indonesia dan Brunei pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi dua hari lalu. Mesej tersebut turut diterima melalui Menteri Luar. Satu mesej yang kuat telah diberikan pada Persidangan OIC di Jeddah.

Mesej melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga jelas dan begitu juga kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jadi seluruh rakyat Malaysia tidak kira kerajaan mahupun pembangkang menunjukkan sokongan dan solidariti mereka kepada Palestin termasuklah komuniti dan NGO Malaysia.

Tiada siapa yang boleh mempersoalkan sokongan yang diberikan oleh Malaysia kepada Palestin. Bagi pihak saya sebagai Duta Palestin ke Malaysia, saya sangat bersyukur dan berterima kasih.

Masyarakat di seluruh dunia telah menyuarakan solidariti terhadap Palestin tetapi tidak banyak yang diperkatakan oleh pemimpin negara-negara Islam atau organisasi seperti OIC dan juga PBB. Apa komen anda?

Saya sangat sedih untuk mengatakan bahawa Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang berlaku baru-baru ini di mana AS satu-satunya negara yang mengambil pendirian untuk tidak membuat satu resolusi melalui majlis berkenaan.

Pada masa sama, seperti yang kita semua tahu, simpati yang ditunjukkan oleh masyarakat di seluruh dunia terhadap perjuangan Palestin adalah sangat kuat. Saya boleh katakan bahawa mereka sangat bersimpati dengan nasib rakyat Palestin.

Malangnya, terdapat beberapa kerajaan dan rejim menerima banyak tekanan daripada pelobi Israel dan Yahudi.

Terdapat juga sebilangan kerajaan dan juga rejim berusaha untuk menyatakan sokongan tetapi terpaksa kekal berdiam diri dan tidak bersuara kerana memiliki kepentingan bersama Israel.

Kami sebagai rakyat Palestin percaya bahawa isu ini adalah terletak di tangan kerajaan-kerajaan tersebut tetapi komuniti antarabangsa juga bertanggungjawab untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin dan membantu kami mendapatkan hak untuk hidup secara bebas di negara Palestin yang merdeka.

Berapa banyak resolusi yang telah diambil oleh Majlis Keselamatan PBB? Berapa banyak lagi Perhimpunan Agung PBB perlu dilakukan untuk membincangkan pembebasan Palestin? Tetapi malangnya apabila sampai kepada perkara yang berkaitan Israel, kami akan menjadi mangsa kepada keputusan yang berat sebelah.

Adakah anda bersetuju bahawa rejim Israel bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki terhadap Palestin kerana sokongan kuat daripada negara seperti AS?

Sudah tentu. Maksud saya, Israel seperti yang anda ketahui mendapat sokongan kuat daripada pentadbiran AS. Sebilangan negara Eropah juga membenarkan Israel melakukan apa yang mereka mahukan.

Itulah sebabnya mereka tidak pernah bertindak melaksanakan resolusi yang diambil oleh Majlis Keselamatan PBB atau apa sahaja. Bayangkan AS dengan hak veto yang dimilikinya dalam Majlis Keselamatan selalu menyokong Israel.

Dan itu memberi peluang kepada Benjamin Netanyahu dan kerajaannya untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan kerana mereka tahu bahawa mereka mendapat perlindungan yang sangat baik daripada pentadbiran AS. Di AS tidak kira Republikan atau Demokrat, Israel selalu dijadikan keutamaan oleh pentadbiran AS.

Kami selalu percaya bahawa AS, sebagai anggota kuartet yang seharusnya menaja rundingan damai perlu memposisikan dirinya di tempat yang sepatutnya dan bersikap adil.

Mereka harus menjadi pihak yang bertindak sebagai saksi dalam rundingan damai antara Palestin dan Israel serta seterusnya membolehkan perjanjian damai yang menyeluruh dapat dicapai di Asia Barat.

Tetapi apabila AS memutuskan untuk menjadi lebih Israel daripada orang Israel sendiri, bagaimana mereka dapat menaja rundingan damai dan mencapai perjanjian damai yang komprehensif?

Apa yang dapat dilakukan oleh masyarakat dunia untuk membantu menamatkan penderitaan Palestin?

Mereka mesti mengambil tindakan terhadap Israel. Mereka mesti menghentikan pertumpahan darah di Palestin. Mereka mesti menghentikan jenayah perang Israel terhadap Palestin. Pemimpin Israel mesti dibawa melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda untuk keadilan.

Apa yang saya saya maksudkan ialah ketika kita bercakap mengenai undang-undang antarabangsa, setiap hari mereka menyaksikan pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

Mereka yang mempercayai hak asasi manusia, mereka yang mempercayai demokrasi, mereka mesti menghentikan pencerobohan Israel terhadap rakyat kita.Secara teori, ya, kami percaya ada simpati yang ditunjukkan terhadap Palestin, tetapi secara praktikalnya tidak ada apa-apa tindakan yang dilakukan. Kita memerlukan tindakan yang harus diambil untuk menunjukkan kita benar-benar bersungguh.

ANEKDOT

Orang Malaysia adalah ‘satu’

Saya berharap rakyat Malaysia terus bersatu menyokong rakyat Palestin. Bagi saya sebagai duta besar, seperti yang saya katakan pada awal tadi, Malaysia adalah satu. Sama ada anda berasal dari Johor, sama ada anda dari Pulau Pinang, sama ada anda dari Terengganu, pada saya semua orang Malaysia adalah satu. Tidak kira sama ada anda PKR, Bersatu atau UMNO, bagi saya semua sama sahaja.

Saya berharap dan meminta rakyat Malaysia untuk melihat kesemua rakyat Palestin juga sebagai satu. Pada masa ini kita adalah satu. Peluru berpandu Israel, ketika menyerang Gaza, ia tidak membezakan antara rakyat Palestin. Ia tidak mengatakan bahawa ini adalah Hamas atau ini adalah Fatah. Semua rakyat Palestin menjadi sasaran. Jadi penderitaan rakyat Palestin adalah sama.

Lihatlah ke Palestin, perjuangan kita ada di Baitulmaqdis, perjuangan kita berada di ibu negara kita. Tidak ada negara Palestin tanpa Baitulmaqdis. Tidak ada negara Palestin tanpa Masjid Al-Aqsa. Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis menjadi keutamaan bagi kita sebagai rakyat Palestin.

Ya, tidak ada yang dapat melupakan penderitaan rakyat kita di Gaza. Mereka telah dikepung selama beberapa dekad. Tetapi pada masa yang sama, pertempuran kita dengan Israel adalah di Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Mereka berusaha menyingkirkan rakyat Palestin supaya berpindah dari ibu kota dan memaksa rakyat Palestin meninggalkan premis mereka, rumah mereka di Baitulmaqdis.

Dan kita akan meneruskan perjuangan kita. Baitulmaqdis adalah milik kita. Al-Aqsa adalah milik kita, dan kita akan terus berjuang di sana.

Ini adalah mesej saya kepada semua rakyat Malaysia. Sekali lagi, terima kasih, Malaysia, untuk semua yang anda lakukan demi Palestin.

Lawan Israel menerusi media sosial

Saya telah menyampaikan satu kenyataan bertulis untuk semua rakyat Palestin di Malaysia susulan wujudnya ancaman Israel untuk menyerang Malaysia menggunakan platform internet. Kami percaya kepada agensi keselamatan Malaysia dan kami yakin bahawa kami selamat di Malaysia.

Israel sangat maju dalam bidang teknologi, tetapi saya percaya Malaysia juga memiliki kemajuan yang baik dan boleh menjadi model dalam kalangan dunia Islam dan saya tahu betapa aktifnya rakyat Malaysia di sosial media.

Ya, saya fikir tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sosial media yang popular ini berada di dalam tangan orang Israel dan Yahudi. Apa yang saya maksudkan adalah orang Israel dan Yahudi di seluruh dunia mengawal agensi media utama dan semua media berada dalam kawalan mereka.

Oleh itu, kami berharap melalui Malaysia, negara-negara Islam dan Arab, kita dapat melakukan sesuatu untuk melawan apa yang dilakukan oleh Israel melalui media sosial.

Saya tahu bagaimana mereka dengan sebaik mungkin cuba untuk memanfaatkan kesemua alat media sosial seperti Facebook dan WhatsApp tetapi kita percaya bahawa kita juga mempunyai kemampuan untuk mendapat manfaat daripada penggunaan media sosial.

PROFIL

Walid Abu Ali

Asal: Bethlehem, Tebing Barat

Pengalaman:

Duta Palestin ke Pakistan (2012-2018)

Duta Palestin ke Malaysia (2018-sekarang)