Denda majikan jika langgar SOP

Gambar kecil: Dr Sharifa Ezat
Gambar kecil: Dr Sharifa Ezat
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan awam menyarankan agar majikan turut didenda selain pekerja mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan bersetuju untuk mengetatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, dengan cara itu, majikan akan lebih bertanggungjawab untuk memantau pekerja mereka.

“Saya rasa majikan ini kalau didenda, kluster di tempat kerja tidak berlaku.

“Contohnya, pekerja yang tidak scan MySejahtera ketika masuk bekerja akan dikenakan denda. Tapi sekarang ini kita ketatkan, majikan pun akan turut didenda,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat sebulat suara bersetuju mengetatkan pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Dr Sharifa Ezat menambah, bagi mengelakkan kluster di tempat kerja, majikan seharusnya menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk premis sebelum pekerja mereka masuk bekerja.

“Sebelum nak masuk bekerja, kena scan MySejahtera. Pemantauan itu perlu lebih teliti oleh pihak majikan,” katanya.

Selain itu, Dr Sharifa Ezat turut menyarankan agar kelonggaran tidak diberikan kepada orang ramai berkumpul di dalam restoran atau pusat membeli-belah.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa antara penyebab utama kes naik ialah tidak ada had kemasukan ke restoran dan pusat beli belah walaupun kita ketatkan SOP dan mengamalkan penjarakan satu meter.

“Contohnya, seorang individu itu pergi ke pusat beli belah, selagi dia tidak ditahan oleh pegawai keselamatan, dia akan masuk. Jadi, setiap kedai, restoran dan pusat beli-belah sepatutnya mengehadkan jumlah pengunjung yang boleh masuk,” katanya.