Klip video RUU355: Mahkamah Persekutuan tangguh rayuan Tony Pua

Tony Pua
Tony Pua
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee terhadap perintah injunksi sementara berhubung dakwaan klip video berkaitan pembentangan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

"Kami menangguhkan pendengaran rayuan ini sementara menunggu penyelesaian kes (rayuan Pua) di Mahkamah Rayuan," kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop.

Rayuan Pua di Mahkamah Rayuan adalah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik saman fitnah berhubung klip video yang difailkannya terhadap Pua.

Hakim Ahmad yang mengetuai panel tujuh hakim menetapkan 5 April bagi pengurusan kes rayuan itu.

Hakim lain yang turut bersidang bersama-sama beliau ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Tan Sri Idrus Harun serta Datuk Nallini Pathmanathan.

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib, mengemukakan bantahan awal dengan berkata rayuan itu telah menjadi akademik memandangkan anak guamnya telah memohon untuk menarik balik kes samannya terhadap Pua pada Julai tahun lepas.

Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Pua, pula berhujah rayuan itu sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Beliau berkata dalam penghakiman Mahkamah Rayuan, dinyatakan mahkamah perlu mengambil maklum notis kehakiman bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membuat keputusan bahawa Najib tidak melakukan sebarang salah laku dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, Hafarizam dan Malik Imtiaz memohon mahkamah supaya menangguhkan pendengaran rayuan itu sementara menunggu selesai kes rayuan Pua di Mahkamah Rayuan.

Najib, atas kedudukan peribadi beliau, mengemukakan saman ke atas Pua dengan mendakwa Pua telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam video langsung berhubung pembentangan RUU355.

Beliau mendakwa klip video yang dimuat naik Pua atau ejennya dalam laman rasmi Facebook, berdurasi dua minit 21 saat bertajuk ‘BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill’ boleh diakses dengan meluas dan percuma dalam internet.

Pada 4 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi sementara oleh Najib untuk menghalang Pua, yang kini setiausaha politik Menteri Kewangan Lim Guan Eng, daripada terus mengeluarkan kenyataan dan menyiarkan klip video itu.

Pada 14 Februari tahun lepas, Pua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan perintah injunksi itu, menyebabkan beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan meluluskan permohonan kebenaran untuk merayu oleh Pua.

Pada 30 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan Najib menarik balik saman beliau terhadap Pua walaupun Pua mengemukakan bantahan dan kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Rayuan Pua terhadap keputusan Mahkamah TInggi yang membenarkan Najib menarik balik samannya dijadual didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 4 April.- Bernama