Tembok menghalang kemajuan

Tembok Berlin telah diruntuhkan hampir tiga dekad lalu bagi penyatuan kepada negara Jerman.
Tembok Berlin telah diruntuhkan hampir tiga dekad lalu bagi penyatuan kepada negara Jerman.
A
A
A

TEMBOK Berlin suatu ketika dahulu adalah simbol pemisahan antara Jerman Barat dan Jerman Timur ketika itu.

Ia juga lambang penindasan terhadap masyarakat Jerman Timur yang tidak menikmati kelunakan hidup sebagaimana rakan mereka di Jerman Barat.

Namun, tembok Berlin telah diruntuhkan hampir tiga dekad lalu bagi penyatuan kepada negara Jerman. Kini, Jerman tidak dikenali sebagai Jerman Barat dan Jerman Timur tetapi sebagai sebuah negara iaitu Republik Jerman.

Masyarakat Jerman kini bersatu meninggalkan trauma sejarah silam dan bergerak ke hadapan bagi membangun negara. Ideologi berbeza pada awalnya sukar menyatukan masyarakat Jerman kini sudah menjadi norma dan kesejagatan Jerman menjadi kuasa yang kuat di dunia.

Kesatuan rakyat Jerman menjadi ramuan kepada kestabilan dan kemajuan negara Jerman yang bersatu. Mereka tidak mahu lagi dikenali dari Timur atau Barat tetapi hanya dari Jerman.

Bagaimana pula keadaannya dengan tembok besar yang memisah rakyat Palestin dibina rejim Zionis. Penjara terbesar di dunia itu masih utuh, malah dari masa ke masa diperkukuh oleh rejim Zionis dengan sokongan dan dokongan Amerika Syarikat (AS).

Berbeza dengan Tembok Berlin, tembok pemisah di Palestin gagal diruntuhkan kerana ketidaksepakatan umat Islam sendiri. Umat Islam juga tidak berbalik kepada ajaran al-Quran dan sunnah bagi menangani isu Palestin. Sampai bilakah saudara kita di Palestin mesti menghadapi dugaan perit ini tanpa kepedulian masyarakat antarabangsa.

Keangkuhan rejim Zionis tiada tolok bandingnya. Namun, umat Islam masih alpa tidak mahu bersatu mempertahankan tempat suci ketiga Islam ini. Kerakusan rejim Zionis menindas umat Islam Palestin tidak dapat dibayangkan. Persoalannya, sampai bila mereka harus menderita?

Artikel Berkaitan:

Pembunuhan kejam di Shabra dan Shatila langsung tidak diingati masyarakat sejagat. Terbaharu, pengeboman di Gaza dan pengusiran penduduk Arab di Sheikh Jarrah.

Sementelah menekuni isu di Palestin, saya juga terkenang bagaimana pula keadaannya di Malaysia. Walaupun analogi fizikal tidak dapat dibuat kerana tiada tembok pemisah di-bina di Malaysia, namun tembok lebih kukuh sebenarnya sudah pun dipasakkan di tanah air.

Ideologi politik dan perbezaan fahaman politik amat ketara di Malaysia. Ia menjadi tembok lebih kukuh memisahkan rakyat Malaysia berbanding Tembok Berlin atau tembok dibina rejim Zionis di Palestin. Kita dilihat dalam apa juga keadaan neraca yang digunakan oleh rakyat Malaysia dalam menilai sesuatu isu itu adalah neraca politik kepartian, bukan neraca kebenaran.

Parameter politik kepartian itu begitu berjaya melakar topografi pemikiran rakyat sehingga ramai sanggup bermusuhan dalam isu remeh-temeh. Seharusnya umat Islam bernaung di bawah payung negara Yang di-Pertuan Agong demi kesatuan umah, kecemerlangan dan kelestarian negara.

Sampai bila masyarakat Islam Malaysia mahu berpecah belah atas isu politik kepartian. Tidak bolehkah sekurang-kurangnya dalam isu agama masyarakat Islam bersatu? Lupakah kita kepada ayat al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Aku. Kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka. Mereka semuanya akan kembali kepada Kami.” (Surah Al-Anbiyaa, ayat 92-93)

Jauh saya menduga minda memikirkan adakah Malaysia akan mengadaptasi ‘Tembok Berlin’ ataupun ‘Tembok Palestin’? Moga bibit perpaduan dapat disemai dan tembok pemisah ini dapat diruntuhkan demi kesejahteraan umat dan negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.