Imbangi ekonomi dengan kawalan

No Image Caption
A
A
A

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat pada Jumaat mengambil keputusan memperketatkan syarat dan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara yang sedang berkuatkuasa sekarang.

Dalam mana-mana pun PKP atau yang serupa dengannya di seluruh dunia, sasaran utama adalah kegiatan ekonomi, pendidikan dan pergerakan dalam masyarakat.

Kegiatan ekonomi dan pendidikan memerlukan pergerakan atau mobiliti manusia. Mobiliti dan pergaulan adalah cara wabak Covid-19 merebak. Banyak juga pihak dalam masyarakat yang mengambil jalan mudah dengan menggesa kerajaan mengulang penguatkuasaan PKP pertama yang mirip kepada perintah berkurung.

Itulah yang ditakuti pihak yang faham ekonomi dan terlibat dengan operasinya. Total lockdown atau penutupan menyeluruh akan membantutkan ekonomi dan menyebabkan penderitaan yang tidak terkira.

Apatah lagi, dalam keadaan sekarang di mana ekonomi baru saja mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah menguncup 5.6 peratus tahun lalu iaitu paling buruk sejak Krisis Mata Wang Asia 1998.

Seperti yang telah saya catatkan dalam rencana minggu lalu, ekonomi kita masih mengempis tetapi pada kadar lebih kecil iaitu setengah peratus bagi suku pertama (Januari hingga Mac) tahun ini.

Dalam bahasa paling mudah, pemulihan ekonomi kita masih rapuh. Justeru, kita perlu menanganinya dengan berhati-hati. Kawalan yang terlalu ketat akan membantutkan pemulihan. Itu belum lagi di-ambil kira kesan buruk yang telah dan sedang dirasai peserta ekonomi daripada pelabur kepada majikan dan pekerja.

Yang lebih teruk dan menyedihkan adalah mereka yang tidak bergaji tetap serta bekerja sendiri. Kita tidak lagi bercakap mengenai kedaifan rakyat dalam kategori B40 semata-mata tetapi juga kelas menengah (M40) yang mula tercampak keluar daripada kategori itu akibat pembuangan pekerja dan pemotongan gaji.

Artikel Berkaitan:

Kadar pengangguran telah meningkat dengan mendadak daripada 3.8 peratus bagi keseluruhan tahun 2020 kepada 4.9 peratus pada Januari lalu. Sebarang langkah tambahan PKP yang menyekat operasi sektor pengeluaran akan secara automatik meningkatkan kadar pengangguran.

Apabila rantaian pembekalan terganggu, tidak dapat tidak ia akan memberi kesan kepada harga barang dan perkhidmatan. Dalam keadaan di mana pengangguran sedang meningkat, kenaikan harga akan memberi kesan berganda kepada rakyat jelata.

Baru tiga hari lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan inflasi bagi April lalu pada kadar 4.7 peratus adalah yang tertinggi sejak 2018 akibat kenaikan harga bahan bakar.

Harga purata minyak petrol RON95 naik pada kadar purata 61.4 peratus daripada RM1.27 seliter kepada RM2.05, manakala diesel naik 44.3 peratus daripada RM1.49 kepada RM2.15. Kerajaan tidak boleh terus menghukum ekonomi dan memufliskan rakyat bagi menutup kegagalannya mengawal penularan Covid-19 setelah memaksa darurat ke atas negara dan menggantung Parlimen.

Apatah lagi, ketika semakin banyak negara di dunia sama ada maju atau membangun mula mengakui bahawa ekonomi mereka tidak mampu lagi menanggung kesan buruk kawalan pergerakan dan penjarakan sosial.

Malah, ada negara yang rakyatnya mengemukakan saman terhadap kerajaan supaya menarik balik PKP dan penutupan ekonomi.

Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara Eropah tidak lagi menganggap kawalan pergerakan sebagai kaedah terbaik mengawal Covid-19 serta menjamin keselamatan rakyat.

Semakin banyak negeri di AS misalnya, telah mengisytiharkan kelonggaran kawalan ke atas pergerakan, bahkan ada yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di khalayak ramai.

Demikian juga negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Sepanyol yang mempunyai penduduk 47 juta dan kematian harian sebanyak 900 hingga 1,000 kes pun telah membuka ekonominya.

Masalah kita di Malaysia adalah masih ramai orang sama ada kerana kurang ilmu pengetahuan, keras kepala atau tidak berdisiplin memandang remeh prosedur operasi standard (SOP), manakala kerajaan pula kerap hilang punca.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara