PKPD di beberapa lokasi di Sabah, Sarawak, Pahang bermula Isnin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Pahang berkuat kuasa 24 Mei hingga 6 Jun ini setelah berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh singkat di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, pelaksanaan PKPD itu melibatkan Kampung Melikai, Kuala Penyu serta Silimpopon Estate dan Silimpopon Mill, Kalabakan di Sabah.

Beliau berkata, 15 penduduk di Kampung Melikai disahkan positif Covid-19 sehingga kini manakala 42 kes direkodkan di Silimpopon Estate dan Silimpopon Mill.

Katanya, PKPD juga dikenakan di Rumah Panjang Nyalu, Mukah, Sarawak selepas 79 penduduk di lokaliti tersebut disahkan positif Covid-19 sehingga kini.

Sementara di Pahang, ia melibatkan taman perumahan dan perkampungan di sekitar Gau, Temerloh iaitu Taman Gau Indah, Taman Gau Makmur, Taman Gau Aman, Taman Gau Idaman dan Kampung Gau Baru yang menyaksikan 16 kes positif Covid-19 setakat semalam (Jumaat).

Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di tujuh mukim dalam daerah Kuantan iaitu Mukim Beserah, Mukim Kuala Kuantan 1 dan 2, Mukim Penor, Mukim Sungai Karang, Mukim Ulu Kuantan dan Mukim Ulu Lepar.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 6,548 ujian saringan dengan 619 daripadanya disahkan positif Covid-19 di lokaliti terbabit.

Beliau berkata, PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang serta di Rumah Panjang Jali dan Rumah Panjang Lanyau, Mukah, Sarawak pula ditamatkan pada esok setelah trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 495 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 476 dikompaun, 15 direman dan empat lagi dijamin.

“Semalam, Op Benteng berjaya menahan 20 pendatang tanpa izin serta merampas dua kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara,” katanya.- Bernama