Polis tahan tujuh lelaki pecah masuk premis bitcoin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan tujuh lelaki semalam selepas mereka dipercayai memecah masuk sebuah premis melombong mata wang digital bitcoin di Jalan Industri Cherok Tokun 3, Taman Tokun Jaya di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada hari sama daripada seorang lelaki yang merupakan pemilik premis tersebut selepas mendapati pagar besi dan pintu kayu di depan kedainya telah dirosakkan.

"Lelaki itu menyedari kejadian tersebut pada 1.30 tengah hari dan pemeriksaan mendapati dua set pelayan serta kira-kira 50 mesin bitcoin yang terdapat di dalam kedai tersebut sudah hilang,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan laporan oleh mangsa, pihaknya yang menjalankan siasatan berjaya menahan tujuh lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar Bukit Mertajam.

Shafee berkata, pihaknya turut merampas peralatan memecah masuk premis itu dan kenderaan yang digunakan bagi melarikan dua set pelayan serta mesin bitcoin yang telah dijual kepada pihak lain.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan semua hasil pecah masuk itu dan kesemua suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: