Peruntukan tambahan RM200 juta tingkat penjagaan kesihatan

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan kerajaan akan meningkatkan keperluan penjagaan kesihatan negara dengan pembiayaan terbaharu sebanyak RM200 juta tetapi usaha secara bersama rakyat Malaysia juga penting bagi memutuskan kadar jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MoF) telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini menjadikan peruntukan menangani Covid-19 untuk kesihatan awam meningkat kepada RM1 bilion.

Selain itu, katanya, sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi sehingga Malaysia kini antara tercepat di rantau dengan RM800 milion telah dibelanjakan setakat ini.

“Sebelum ini, kadar vaksinasi adalah sekitar 30,000 hingga 40,000 suntikan sehari dan kini telah mencecah 76,000.

"Jumlah ini terus meningkat mulai Julai selaras dengan jadual penerimaan bekalan vaksin,” kata beliau dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dengan peningkatan kes Covid-19, peruntukan akan ditingkatkan untuk meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan katil di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Pengajar Universiti serta menyediakan hospital medan Mindef.

“Peruntukan juga akan ditambah bagi meningkatkan peralatan, ubat dan bahan guna habis yang berkaitan serta pelantikan pegawai perubatan secara kontrak termasuk pesara.

"Kementeriann juga akan terus memantau keadaan dan bersedia menyediakan peruntukan secukupnya bagi membendung Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan komited memastikan peruntukan yang mencukupi untuk kesihatan awam dan kelangsungan hidup golongan terjejas, sementara itu juga pentingnya PKP 3.0 ini sebagai "circuit breaker" untuk mengurangkan bebanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, bukan sahaja Malaysia, malah negara lain di seluruh dunia juga sedang mengalami peningkatan kes Covid-19 sejak awal tahun 2021 dengan pelbagai varian baharu.

“Oleh itu, penutupan menyeluruh bukan jalan untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana ia akan memberi impak kepada rakyat, terutamanya kumpulan rentan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh akan lebih menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal.

Walaupun PKP 3.0 memperlihatkan SOP yang lebih ketat, beliau berkata, pelbagai bantuan secara bersasar akan diteruskan bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas.

Antara bantuan sedia ada yang disalurkan oleh kerajaan termasuk saluran bantuan prihatin rakyat sebanyak RM4.48 bilion setakat ini dan subsidi upah yang melibatkan 2.72 juta pekerja.

Bagi sektor perniagaan pula, bantuan kerajaan termasuk dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM5.2 bilion, skim jaminan danajamin PRIHATIN sebanyak RM39 bilion dan subsidi upah yang melibatkan 330,358 majikan.

Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga telah mempermudahkan pergeluaran melalui i-Sinar dan i-Lestari yang secara keseluruhannya berjumlah RM78 bilion setakat ini. - Bernama