X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid, SDJ dalam kawasan PKPD di Perak dibenar solat 12 jemaah

Gambar kecil: Mohd Yusop Husin
A
A

IPOH - Sebanyak 100 masjid dan 14 Surau Diri Jumaat (SDJ) dikenal pasti berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan empat mukim di Perak.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kepada Sinar Harian, Mukim Hulu Kinta mempunyai jumlah paling banyak iaitu 62 masjid dan sembilan SDJ diikuti Mukim Taiping (23), Hulu Bernam Timur (13) dan Pengkalan Hulu (7).

Kesemua masjid dan SDJ berkenaan hanya dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dalam tempoh PKPD dengan jumlah 12 orang jemaah terdiri daripada ahli jawatankuasa kariah masjid.

Bagi surau yang diberikan kebenaran sementara melaksanakan solat Jumaat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula tidak dibenar melaksanakannya dalam tempoh PKPD.

Arahan tersebut susulan Pekeliling Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan di kawasan yang dikenakan PKPD di seluruh Perak dikeluarkan JAIPk pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dalam pekeliling tersebut berkata, bagi solat fardu, hanya seramai 12 orang jemaah dibenarkan berjemaah di masjid, SDJ dan surau di negeri ini dalam kawasan dikenakan PKPD yang bermula pada 22 Mei.

Jelas beliau, jumlah tersebut terbatas kepada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

Menurutnya, perkara itu dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi solat Jumaat pula, dibenarkan dilaksana di masjid dan SDJ sahaja. Bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah sahaja.

"Bagi ahli kariah yang lain, hendaklah melaksanakan solat Zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing," katanya.

Menurutnya, bagi solat jenazah pula dibenarkan untuk diadakan di masjid, SDJ dan surau sahaja dengan bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah.

Dalam masa sama, bilal yang bertugas pula dikehendaki membuat pengumuman khas memaklumkan ahli kariah untuk melaksanakan solat fardu secara berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing selepas azan dilaungkan.

Mohd Yusop berkata, aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti kelas agama dan kuliah pengajian juga tidak boleh diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak khususnya pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini mematuhi pekeliling tersebut bagi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit.

Jelasnya, pihak jawatankuasa kariah juga perlu menetapkan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi memastikan kesihatan awam tidak terjejas.

Tambah beliau lagi, mana-mana masjid, SDJ dan surau yang melanggar serta tidak mematuhi arahan ditetapkan boleh dikenakan tindakan malah kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!