8 juta pekerja kembali bekerja dari rumah

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Hampir lapan juta pekerja melibatkan sektor awam dan swasta akan kembali bekerja dari rumah berkuat kuasa 25 Mei sebagai langkah tambahan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Turut dihadkan adalah waktu operasi bagi sektor ekonomi dan pengangkutan awam sebagaimana dilakukan pada PKP 1.0.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan itu merupakan strategi yang digariskan bagi mengurangkan pergerakan rakyat demi mengekang penularan Covid-19.

“80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah melibatkan 750,000 pekerja dan perincian bagi perkara ini akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Jumlah pekerja sektor swasta yang hadir di pejabat juga akan dikurangkan sebanyak 40 peratus iaitu melibatkan 6.1 juta pekerja.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengumumkan dengan lebih terperinci,” katanya pada sidang akhbar khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu.

Ismail Sabri menambah, operasi perniagaan bagi pusat membeli belah, restoran, kedai runcit, dobi, dan kedai gunting rambut akan hanya dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun, operasi kedai farmasi dibenarkan sehingga jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, jumlah sekatan jalan raya akan ditambah, manakala kapasiti pengangkutan awam juga akan dikurangkan kepada 50 peratus,” katanya.