X

Kindly register in order to view this article
!

Maritim Malaysia berjaya pintas kapal tangki bersauh secara haram

Penguat kuasa Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan berjaya memintas kapal tangki yang cuba lolos dari Johor Bahru.
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya memintas serta menahan sebuah kapal tangki yang cuba lolos dari tahanan Maritim Negeri Johor di perairan Selat Melaka awal pagi Sabtu.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal tangki MT JW JEWEL yang berdaftar di Vietnam ini telah ditahan melalui OP Jangkar Haram, oleh Maritim Negeri Johor pada 27 Mac lalu, atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Balau, Johor, sebelum dikesan hilang dari kedudukan sekitar jam 9.50 malam Jumaat.

"Maklumat kehilangan MT JW JEWEL dari lokasi tahanan telah disalurkan kepada semua Maritim Negeri dan Zon Maritim untuk pengesanan.

"Kedudukan semasa MT JW JEWEL telah berjaya dikesan semula oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut sekitar jam 9.55 malam semalam iaitu berada di perairan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan dan dipercayai sedang belayar menuju ke utara.

"Berikutan itu, bot ronda Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah diaturgerakkan ke lokasi untuk memintas kapal tersebut, dan telah berjaya menahan semula MT JW JEWEL sekitar jam 2.30 pagi tadi di posisi lebih kurang 15 batu nautika dari pantai Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Tambahnya, Master dan Chief Engineer kapal warga Indonesia telah dibawa ke ibu pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, atas kesalahan berlayar tanpa kebenaran pihak berkuasa dari posisi tahanan semasa notis tahanan telah dikeluarkan kepadanya.

Dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi oleh semua pihak, komuniti maritim diminta untuk bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti melanggar perundangan Malaysia di perairan Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!