Sumbangan melalui MyCARE bantu lahir usahawan kecil Gaza

Beberapa penduduk Palestin melihat sebuah unit kediaman yang musnah dibedil oleh tentera rejim Israel di Gaza baru-baru ini. - Foto AFP
Beberapa penduduk Palestin melihat sebuah unit kediaman yang musnah dibedil oleh tentera rejim Israel di Gaza baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sumbangan rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza, Palestin melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) selama ini bukan sekadar digunakan untuk membeli keperluan harian seperti makanan dan pakaian, tetapi turut membantu melahirkan usahawan kecil dalam pelbagai sektor ekonomi.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Profesor Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, usaha melahirkan usahawan itu dijayakan pihaknya dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan di sana iaitu Emaar Association for Development and Rehabilitation.

Menurut beliau, melalui kerjasama tersebut, MyCARE akan memberi sejumlah dana kepada pihak berkenaan untuk dijadikan modal pembiayaan mikro kredit tanpa keuntungan buat penduduk Palestin yang hendak memulakan kehidupan baharu.

“Contohnya mereka diberi pinjaman sebanyak AS$1,000 (RM4,141) untuk membeli keperluan asas bagi memulakan perusahaan bengkel. Setakat ini, dianggarkan 150 individu telah mendapat manfaat untuk memulakan perniagaan atau membesarkan perniagaan sedia ada.

“Malah sewaktu saya mengunjungi Gaza pada tahun 2018, saya dapat melihat sendiri mereka sudah ada perniagaan seperti farmasi, kedai elektrik, kedai runcit, kedai perkakasan, menjalankan ternakan ayam dan kambing serta gerai makanan,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabat MyCARE Johor pada Jumaat.

Mohd Zin memberitahu, projek seumpama itu telah menjadikan sumbangan berterusan daripada rakyat Malaysia lebih bermakna, selain digunakan untuk tujuan kemanusiaan lain seperti penyediaan bekalan makanan, tempat tinggal sementara, bekalan perubatan dan menaik taraf beberapa bangunan seperti sekolah dan masjid akibat beberapa siri serangan Israel dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Projek ini (mikro kredit) sangat dekat di hati saya kerana kita bukan beri duit semata-mata tetapi diibaratkan kita memberi 'joran' untuk mendapatkan hasil sendiri. Ini penting kerana apabila mereka mendapat hasil, ia membawa kebaikan kepada ekonomi tempatan,” kata Mohd Zin yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina di Universiti Sains Islam Malaysia.

Untuk rekod, beliau berkata sejak tahun 2010, sebanyak 75 peratus daripada RM150 juta wang dikumpulkan daripada rakyat Malaysia sudah disalurkan kepada Palestin manakala bakinya kepada negara lain seperti Syria, Indonesia, Myanmar, Sudan, Lubnan dan Kemboja.

Artikel Berkaitan:

“Negara lain walaupun berlaku konflik, kerajaan mereka masih berfungsi dan penduduk tidak dijajah yang bermakna sistem kutipan wang dan cukai masih berjalan.

“Di Gaza, kerajaannya sudah lumpuh. Kalau tiada bantuan luar, agak sukar untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya yang turut menyasarkan kutipan AS$1 juta (RM4.14 juta) daripada rakyat Malaysia ekoran konflik terbaharu Palestin-Israel.

Sementara itu, Mohd Zin berharap kerajaan Malaysia dapat menggerakkan semula rancangan untuk membuka sebuah pejabat rasmi di Semenanjung Gaza bagi membolehkan bantuan secara lebih menyeluruh dapat diberi kepada kira-kira dua juta penduduk di sana.

Katanya, hasrat membuka pejabat itu pernah diutarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Gaza pada tahun 2018 tetapi tiada tindakan susulan hingga kini.

Menurut beliau, buat masa ini juga hanya Turki dan Qatar sahaja mempunyai pejabat rasmi di kawasan itu bagi membolehkan negara berkenaan menyalurkan bantuan melalui pendekatan 'kerajaan kepada kerajaan' untuk sektor berkepentingan seperti pembangunan infrastruktur jalan raya dan bangunan.

“Sekiranya Qatar boleh bantu 'kerajaan kepada kerajaan’, mengapa tidak Malaysia yang sudah dikenali di Gaza. Malaysia tidak boleh lagi hanya menyatakan sokongan dan mengecam tindakan Israel tetapi perlu ada tindakan yang lebih bermakna.

“Impak positif penubuhan pejabat ini adalah kita (kerajaan Malaysia) boleh membantu dalam bentuk infrastruktur lebih besar contohnya pembekalan tenaga elektrik. Untuk menjayakan hasrat, MyCARE bersedia menjadi pemudah cara agar fokus bantuan tidak bertindih dengan negara lain,” katanya yang sudah beberapa kali mengunjungi Gaza sejak kewujudan MyCARE pada tahun 2010. - Bernama