Armada gesa beri moratorium, pengurangan bil kepada PKS

Muhammad Farhan
Muhammad Farhan
A
A
A

IPOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan kerajaan memberikan moratorium dan pengurangan bayaran bil elektrik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan keputusan pelaksanaan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exconya, Muhammad Farhan Abdul Rahim berkata, pemberian moratorium kepada pemilik premis perniagaan perlu diberikan tanpa syarat yang ketat dalam usaha menyelamatkan golongan PKS.

Jelas beliau, kebanyakan peniaga yang sudah bertahan semasa PKP 1.0 kini sudah tidak mampu menanggung sewa yang tinggi dengan nilai jualan tidak memberangsangkan.

"Satu masalah yang timbul semasa mula-mula moratorium diberikan adalah pemilik premis enggan mengambil moratorium tersebut atas alasan perlu membayar faedah atas moratorium tersebut.

"Pemberian moratorium oleh pihak bank kepada pemilik premis perlulah dipermudahkan dan perlunya satu saranan keras dari kerajaan bagi memastikan pemilik premis memberikan pelepasan sewa atau sekurangnya pengurangan bulanan," katanya dalam kenyataan akhbar di Facebook pada Sabtu.

Menurutnya, pengurangan bayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan penstrukturan semula bayaran ansuran dengan kadar yang mampu dijelaskan peniaga untuk satu tempoh masa pemulihan ekonomi juga dicadangkan untuk dilaksana.

Muhammad Farhan berkata, selain itu, langkah proaktif perlu diambil oleh kerajaan negeri dengan memberi diskaun bagi kegunaan air di premis perniagaan serta pengurangan bayaran lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, inisiatif itu pastinya dapat mengurangkan kos operasi walau sedikit terutamanya bagi industri memerlukan bekalan air yang banyak serta peniaga kecil seperti pusat cuci kereta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, golongan PKS perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan kerana mereka paling terkesan bagi sektor ekonomi.

Jelasnya, walaupun kerajaan telah membantu peniaga terjejas sejak Mac 2020 melalui pelbagai inisiatif, namun rentetan dan keluh kesah peniaga dalam PKP 3.0 kali ini tidak boleh dipandang sepi.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik sebelum peniaga-peniaga PKS ini gulung tikar serta meningkatkan kadar penganguran.

"Peniaga faham keadaan kerajaan dalam mengurus tadbir pandemik ini, semua pihak perlu dibantu tetapi PKP 3.0 kali ini akan menyebabkan ribuan peniaga hilang mata pencarian dan ribuan pekerja diberhentikan.

"Utamanya, bantuan dan inisiatif kerajaan bagi peniaga tidak betul-betul sampai kepada mereka yang memerlukan atas pelbagai faktor dalam syarat permohonan itu sendiri," katanya.

Menurutnya, beberapa syarat ditetapkan agensi-agensi yang menyalurkan inisiatif kerajaan bagi peniaga tersebut hanya bermanfaat kepada peniaga yang mempunyai aliran tunai dan kekukuhan syarikat yang baik sahaja.

Muhammad Farhan berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang suram dan jualan bagi majoriti peniaga dalam pelbagai sektor merudum sejak Mac 2020 yang lalu, pastinya pretasi kewangan perniagaan mereka terjejas.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Armada Bahagian Gopeng turut mencadangkan kerajaan agar mempermudahkan pemberian pinjaman serta bantuan kewangan kepada usahawan PKS.

Menurutnya, tujuan pinjaman atau bantuan itu perlu jelas kerana ketika ini amat sukar bagi perniagaan membuat keuntungan dan mengekalkan prestasi kewangan baik.

"Produk kewangan seperti pinjaman dari institusi perbankan serta agensi lain menawarkan pinjaman kebanyakannya untuk mengembangkan perniagaan walhal pada masa ini peniaga memerlukan pinjaman untuk survival.

"Pinjaman tanpa faedah bagi peniaga juga amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan perjalanan perniagaan serta bantuan kewangan untuk menanggung kerugian akibat PKP dan pengurangan jualan," katanya.

Sehubungan katanya, isu tersebut perlu diberi perhatian kerana dibimbangi nasib peniaga-peniaga PKS yang berada di dalam kelompok M40 berkemungkinan menjadi B40.