Sila log masuk terlebih dahulu.

PSM masih persatuan yang sah

IBRAHIM
IBRAHIM
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih sebuah persatuan yang sah dan bebas melakukan sebarang aktiviti sukan di negara ini mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, situasi itu termasuk 17 badan gabungan PSM terdiri daripada persatuan sepak takraw negeri dari seluruh negara yang masih aktif dan giat menggerakkan sukan sepak takraw di Malaysia.

"Di pihak Pesuruhjaya Sukan, kami mengambil maklum keputusan yang diambil oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk singkirkan PSM. Kami hormati keputusan itu dan kita difahamkan PSM ada tempoh 14 hari untuk buat rayuan. Jadi, kami harap PSM ambil peluang ini untuk kemukakan rayuan kepada ASTAF dan ambil langkah susulan yang perlu berasaskan perlembagaan ASTAF dan PSM.

"Jadi, kita tunggu apa tindakan SPM selepas 14 hari sama ada mereka buat rayuan atau tidak. Kita juga perlu ingat pendaftaran PSM adalah di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 di Malaysia. Selagi persatuan itu tidak dibatalkan, masih lagi badan yang sah dan boleh buat aktiviti di Malaysia.

"PSM masih lagi boleh wujud dan beroperasi di Malaysia sebab akta digunakan di Malaysia manakala ASTAF di peringkat Asia. Ia berbeza sedikit. Mungkin penglibatan di peringkat antarabangsa mungkin terhad, tetapi di Malaysia masih sah," katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Pada Khamis, ASTAF melalui Jawatankuasa Disiplin ASTAF (ASTAFDP) telah menyingkirkan PSM daripada ahli gabungan persekutuan itu berkuat kuasa serta merta.

Ia susulan, PSM didapati bersalah selepas presiden badan induk itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

ASTAFDP melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ibrahim turut menjelaskan sekiranya PSM tidak mengemukakan rayuan kepada ASTAF, pembubaran persatuan itu tidak berlaku secara automatik sebaliknya perlu diadakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) membabitkan dua pertiga ahli gabungan persatuan itu.

"Jika PSM tidak buat rayuan, kita kena tengok kepada perlembagaan. Pembubaran PSM bukan automatik dan berdasarkan perlembagaan, mereka kena dapatkan dua pertiga daripada ahli gabungan yang diputusan dalam EGM. Presiden atau ahli gabungan boleh membuat permohonan untuk adakan EGM.

"PJS hanya akan masuk campur apabila pembangunan sepak takraw itu terganggu. Kalau tengok akta sedia ada ia memberikan kuasa kepada PJS dan kita boleh batalkan persatuan menerusi akta 21(B). Tetapi, kita tak nak gunakan sampai ke peringkat itulah. Selagi PSM laksanakan pembangunan sukan itu sendiri, maka mereka boleh teruskan," katanya.

Bagaimanapun, hukuman yang dikenakan ASTAF itu menimbulkan kemelut dalaman dalam PSM dengan beberapa persatuan negeri sudah menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM dan timbul khabar angin akan wujud persatuan baharu badan induk itu.

"Itu cuma cadangan untuk tubuh persatuan baharu. Setakat ini kami masih belum terima apa-apa permohonan. Saya tidak boleh komen mengenai andaian sahaja. Kalau ada permohonan kita akan lihat.

"Kami juga tidak halang mana-mana pihak untuk membuat permohonan pendaftaran persatuan," kata Ibrahim.