Unit Bom Bukit Aman siasat letupan di Kampung Sireh

Shafien (kanan) turun padang meninjau situasi terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Terusan, Pasir Tumboh pada Sabtu.
Shafien (kanan) turun padang meninjau situasi terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Terusan, Pasir Tumboh pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan pihaknya memohon bantuan Unit Bom Bukit Aman bagi mencari punca sebenar insiden letupan yang didakwa berpunca daripada mercun sehingga meragut nyawa seorang lelaki di Simpang Empat Kampung Sireh, di sini petang Jumaat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, unit tersebut sudah dalam perjalanan ke lokasi untuk melakukan siasatan secara lebih meluas bagi melihat jumlah mercun yang ada di dalam kereta tersebut.

"Siasatan awal kita dapati kesannya (letupan) menghampiri 100 meter, jadi ini satu jumlah yang besar pada pandangan mata kasar," katanya kepada pemberita semasa turun padang meninjau situasi terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Terusan, Pasir Tumboh pada Sabtu.

Menurutnya, disebabkan itu Polis Kelantan memohon bantuan dari Bukit Aman untuk membuat analisa secara lebih terperinci di lokasi.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan kes pecah rumah dan dadah.

Shafien berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui bagaimana mangsa mendapat bekalan mercun selain punca sebenar kejadian itu berlaku.

Katanya, polis mendapat pelbagai maklumat yang memaklumkan kejadian itu berpunca daripada cubaan menghisap rokok atau panahan petir.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, kereta bawa mercun meletup

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah kita mohon bantuan unit bom untuk menjalankan siasatan, sebab mengikut maklumat saksi mereka hanya mendengar bunyi letupan.

"Jadi saya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan polis.

"Lagipun serpihan mercun yang ditemui di lokasi agak banyak dan kemusnahannya besar," katanya.

Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Simpang Empat Kampung Sireh, pada Jumaat. - Foto Facebook pembaca
Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Simpang Empat Kampung Sireh, pada Jumaat. - Foto Facebook pembaca

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera apabila sebuah kenderaan dipercayai membawa mercun meletup di Simpang Empat Kampung Sireh, di sini petang Jumaat.

Kejadian ngeri pada jam 5.55 petang itu menimpa Wan Hassan Wan Ali, 48, hingga mengakibatkan dia tercampak kira-kira 20 meter dari kereta yang dipandunya.

Difahamkan, mercun yang dibawa terlalu banyak hingga penuh but dan tempat duduk belakang kereta tersebut.

Letupan kuat itu membuatkan pasukan keselamatan terpaksa mengutip sebahagian cebisan mayat mangsa di atas jalan.