Ada unsur jenayah kes tahanan Kemboja: Noor Rashid

Noor Rashid
Noor Rashid
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan merakam keterangan 47 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Kemboja tempoh hari, dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah pada kes ini dan kertas siasatan juga sudah dibuka mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

"Kita nak tahu bagaimana kesemua mangsa ini dibawa masuk ke sana (Kemboja). Apa yang dijanjikan syarikat yang tawarkan perkhidmatan itu.

"Selain itu, kita juga mahu lihat sama ada wujud unsur penipuan, apa yang dijanjikan kepada mangsa, adakah syarikat terbabit penuhi janjinya dari segi tempat tinggal, kemudahan dan sebagainya," katanya dalam sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan (PJPN) Kontinjen Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya apa yang dijanjikan ini tidak dipenuhi, itu adalah satu kes pemerdagangan manusia.

Katanya, mungkin sindiket tempatan berperanan mendapatkan pekerja sebelum menyerahkan kepada sindiket luar.

"Biar polis jalankan siasatan dan kita akan panggil kesemua mangsa yang terlibat ini dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rakyat Malaysia di Kemboja didalangi warga tempatan

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak sudah mengenal pasti beberapa warga tempatan disyaki terbabit sindiket penipuan pekerjaan yang mengakibatkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja pada 11 Disember lalu.

Siasatan awal mendapati mereka diperdayakan kononnya untuk bekerja dalam bidang perhotelan di Kemboja dengan gaji bulanan antara AS$1,200 hingga AS$1,500, namun sebelum itu perlu membayar yuran pemprosesan antara AS$200 hingga AS$300 ke dalam akaun bank salah seorang rakyat tempatan.

Kemudian, mangsa secara berasingan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja, antara Oktober hingga November 2018.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, mangsa dibawa ke sebuah rumah dan tidak dibenarkan keluar, di mana makan minum disediakan, malah turut diarah menyerahkan telefon bimbit serta pasport mereka kepada individu yang menjaga dan mengawal mereka.