Pakar bius maut kemalangan

Kemalangan di Kilometer 2, Jalan Kluang-Batu Pahat di Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat pagi Sabtu. -Foto: Ihsan Bomba
Kemalangan di Kilometer 2, Jalan Kluang-Batu Pahat di Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat pagi Sabtu. -Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang doktor pakar bius maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Kluang-Batu Pahat di Taman Koperasi Bahagia, di sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Dr Noor Zairul Muhamad, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Porsche Coupe seorang diri dan dari arah Bandar Batu Pahat ke arah Sri Gading.

"Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di batu penghadang tengah jalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan serta bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian, manakala pemandu MPV itu cedera di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Pantai untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas beliau, mangsa yang juga doktor pakar di Bahagian Anestesiologi dan Rawatan Kritikal Hospital Pantai, Batu Pahat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini untuk bedah siasat.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulle Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 pagi, sebelum 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik tiba, kita dapati terdapat dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu, yang mana salah seorang mangsa tersepit.

"Kita bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mangsa kepada pihak kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.