Nilai semula keputusan tidak laksana PKP penuh: Pemuda UMNO

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak supaya kerajaan menilai semula keputusan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penilaian itu perlu bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini daripada menjadi lebih parah.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan menangani pandemik berkenaan sehingga ke tahap minimum berbanding secara berterusan mengenakan perintah PKP ‘separuh masak’.

"Dengan peningkatan kes covid-19 yang kian parah, rakyat lebih rela ‘total lockdown’ untuk tempoh 14 hingga 21 hari berbanding hadapi situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan.

"Data dan sains juga menunjukkan kilang-kilang milik syarikat multinasional (MNC) dan 'tauke' penyumbang terbesar sehingga 50 peratus penularan wabak Covid-19, tapi terus dibenarkan beroperasi.

"Sedangkan peniaga kecil, penjaja, pengusaha kantin, pekerja gaji hari dan lain-lain berhadapan situasi ‘buka tutup’ yang tiada penghujung," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 3.0 akan diperketatkan

Asyraf Wajdi berkata, persepsi rakyat ketika ini melihat kerajaan terlalu menjaga hati tauke besar dan kapitalis.

Artikel Berkaitan:

"Suasana krisis pandemik yang luar biasa hari ini tidak boleh memenuhi semua perkara dalam satu masa. Utamakan yang perlu diutamakan.

"Nyawa lebih mustahak daripada ekonomi. Selamat nyawa, selamat ekonomi," kata beliau.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat bersetuju mengetatkan pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Perincian mengenai sekatan tambahan akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.