X

Kindly register in order to view this article
!

Turki kecam serangan terbaharu di Masjid al-Aqsa

Polis Israel melepaskan gas pemedih mata di Qubbat As-Sakrah yang terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Aqsa. - Agensi
A
A

ANKARA - Turki pada Jumaat mengecam kekerasan terbaharu polis Israel terhadap rakyat Palestin di pekarangan Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis Timur.

Pengarah komunikasi Presiden Turki, Fahrettin Altun berkata, tindakan biadab itu membuktikan rejim Zionis tidak menghormati seruan global untuk menghentikan segala bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki.

"Kami mengutuk serangan polis Israel terhadap penduduk Palestin di tapak ketiga paling suci buat umat Islam sejurus selepas solat Jumaat.

"Ini adalah wajah sebenar Israel yang enggan mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan," katanya.

Pada masa sama, Altun menggesa Israel turut menghentikan segala bentuk kekerasan di Baitulmaqdis Timur susulan gencatan senjata dicapai di Genting Gaza.

"Ketegangan bukan sahaja dihentikan di Gaza tetapi seluruh wilayah diduduki Israel termasuk di Baitulmaqdis Timur," ujarnya.

Terdahulu, kurang 24 jam selepas gencatan senjata dipersetujui di Genting Gaza, polis Israel menyerbu pekarangan Masjid al-Aqsa dan melepaskan tembakan peluru getah, bom tangan pegun serta gas pemedih mata.

Tindakan itu dilakukan bagi menyuraikan penduduk Palestin yang meraikan gencatan senjata yang dianggap sebagai kemenangan pejuang Hamas di Gaza.

Saksi berkata, tindakan provokatif itu mencetuskan pertempuran baharu antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel.

"Penduduk berhimpun sambil melaungkan slogan kemenangan bagi meraikan gencatan senjata di Gaza.

"Namun polis Israel menggunakan kekerasan melampau bagi menyuraikan perhimpunan itu," kata saksi.

Pada Khamis, Israel serta dua kumpulan pejuang utama Palestin di Gaza, Hamas dan Islamic Jihad mengumumkan gencatan senjata dalam konflik terbaru yang tercetus sejak 10 Mei lalu hasil inisiatif Mesir bertindak sebagai orang tengah.

Gencatan senjata itu sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan bakar di bawa masuk ke Gaza.

Penduduk Gaza yang berlindung di sekolah-sekolah ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga berpeluang kembali semula ke kediaman masing-masing. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!