Kami boleh terima Vida, kata penyokong Perak FC

SYAMSUL BAHARIN PUTRA AHMAD SHIBI
SYAMSUL BAHARIN PUTRA AHMAD SHIBI
A
A
A

IPOH - Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs) mengalu-alukan hasrat usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida untuk menaja pasukan Perak FC.

Presidennya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, secara dasarnya penyokong Perak FC tiada masalah dengan penajaan tersebut memandangkan ia bukan tajaan kali pertama usahawan tersebut bagi pasukan bola sepak.

Jelas beliau, Perak FC TBG Mobs mahu melihat pasukan mampu terus bersaing di dalam Liga Malaysia dan memastikan kebajikan pemain dalam keadaan baik.

"Bagi saya kenapa tidak boleh pula? Jika Kelantan FC ditaja oleh seorang usahawan dari Johor, jadi memang wajar kalau Datuk Seri Vida mahu menaja pasukan Perak FC malahan beliau bukan asing di negeri ini walaupun anak jati Kelantan.

"Kita amat mengalu-alukan penajaan daripada mana-mana pihak untuk Perak FC asalkan pasukan kita boleh terus beraksi di pentas Liga Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, setelah lama bermastautin dan mempunyai rangkaian perniagaan di Perak, mungkin ini antara cara terbaik untuk Vida berterima kasih kepada pelanggan di negeri ini.

Beliau berkata, pengurusan Perak FC perlu melihat ia sebagai peluang untuk menyelamatkan pasukan selain memikirkan kaedah lain untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku sebelum ini.

Pada 21 Mei lalu, Vida mendedahkan pihaknya masih mengkaji kos pengendalian dan perbelanjaan kelab yang tinggi sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjadi pemilik baharu Perak FC.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara itu penting kerana ia melibatkan pelbagai perbelanjaan besar antaranya membabitkan gaji pemain sekali gus memerlukan pelaburan yang bijak untuk mewujudkan situasi menang-menang.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya masih kaji overhead, maintance Perak FC