Ada 'orang dalam' cuba musnahkan Arsenal

Mikel Arteta
Mikel Arteta
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan ada 'orang dalam' di kelab tersebut yang sedang cuba memusnahkan pasukan dan tidak mahu melihat The Gunners berada pada tahap terbaik.

Menurut Arteta, dia sudah menyedari perkara tersebut namun menegaskan tidak terkesan dengan cubaan untuk menghancurkan Arsenal dengan setiap pemain tetap bersatu dalam pasukan.

Malah, pengendali kelahiran Sepanyol itu turut menyifatkan kejayaan menyatukan semua pemain, pegawai dan pekerja dalam pasukan dan menangkis niat jahat sesetengah pihak itu merupakan satu kejayaan luar biasa buat Arsenal musim ini.

"Perkara paling baik musim ini adalah berjaya menyatukan pasukan, staf dan semua orang bersama-sama. Dalam keadaan anda tidak memenangi sebarang kejuaraan dan ada ramai orang termasuk di dalam dan di luar pasukan yang akan 'melukakan' anda.

"Untuk memastikan dapat menyatukan semua orang dan menangkis perkara tersebut, saya rasa ia satu pencapaian yang bagus sekali gus menghentikan perkara itu daripada terus menjadi lebih buruk," katanya.

Arsenal mengharungi musim yang kurang memuaskan musim ini dengan berada di kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bakal menentang Brighton dalam aksi terakhir liga pada Ahad.

Mengulas lanjut, Arteta turut mengakui orang yang cuba memecahbelahkan pasukan itu sudah tiada di Arsenal dan dia kini boleh fokus untuk mengendalikan pasukan dengan baik.

"Ia satu cabaran luar biasa, namun sangat bagus untuk karier kejurulatihan saya. Saya sangat bangga untuk bekerja dengan orang yang sanggup memberikan kerjasama dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Kelab ini lebih besar daripada yang saya fikirkan dan bahkan lebih baik daripada yang saya fikirkan. Saya bersedia melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memberikan kejayaan, kegembiraan dan kebanggaan terhadap apa yang cuba kita lakukan.

"Saya tidak akan berhenti sehingga saya melakukannya," katanya.